My Add

Sunday 19 February 2012

BN tak pernah amalkan rebat NGO

Oleh SAFINA RAMLI

ALOR SETAR, SABTU, 18 Februari, 2012: Pemulangan balik atau rebat antara 25 dan 30 peratus daripada jumlah bantuan yang disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) tidak pernah diamalkan ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md.Hanipah berkata, setiap peruntukan yang disalurkan oleh wakil rakyat BN adalah telus dan tidak pernah dipotong untuk kegunaan individu tertentu.

“Saya sudah jadi wakil rakyat selama empat penggal dan perkara sebegitu tidak pernah diamalkan BN.

“Peruntukan yang disalurkan adalah hak rakyat dan pemulangan balik 25 hingga 30 peratus daripada jumlah bantuan yang diberikan adalah tidak wajar sama sekali," katanya selepas menghadiri Festival Kebudayaan Islam sempena sambutan Maulidur Rasul di Sekolah Menengah Simpang Kuala, di sini semalam.

MCA Kedah semalam telah mengemukakan senarai lapan pertubuhan bukan kerajaan yang didakwanya terlibat memulangkan semula antara 25 dan 30 peratus daripada jumlah bantuan yang diterima daripada kerajaan negeri.

Pengerusinya, Datuk Chong Itt Chew turut mengemukakan bukti salinan jumlah peruntukan yang diterima oleh pihak tersebut dalam bentuk cek dan wang tunai.

Menurut Ahmad Bashah, walaupun seorang pembantu peribadi kepada seorang Exco kerajaan negeri dilaporkan telah digantung tugas namun perkara itu tidak memadai.

"Exco yang didakwa terlibat dengan perkara ini sepatutnya bercuti bagi memudahkan siasatan ke atasnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya juga berharap SPRM akan menjalankan siasatan ke atas exco-exco lain bagi memastikan tiada antara mereka terlibat dengan pemulangan balik wang bantuan," ujarnya.

Katanya, jika perkara tersebut terbukti diamalkan oleh wakil rakyat pakatan pembangkang tindakan yang tegas perlu diambil bagi mengelakkan perkara itu dilakukan oleh wakil rakyat lain. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment