My Add

Thursday 16 February 2012

BR1M: Kementerian Kewangan beri penjelasan

KUALA LUMPUR, RABU, 15 Februari, 2012: Kerajaan tidak meminjam daripada mana-mana pihak termasuk Bank Dunia atau menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membiayai Program Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, pelaksanaan program BR1M adalah menggunakan peruntukan perbelanjaan mengurus yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2012.

"Oleh itu, adalah jelas kerajaan tidak meminjam daripada mana-mana pihak. Kerajaan juga tidak menggunakan wang KWSP atau entiti tempatan untuk membiayai program ini.

"Program BR1M yang bertujuan mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah dan mudah terjejas akibat kenaikan kos sara hidup mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang dari RM3,000.

"Sehingga 12 Februari, sebanyak RM602,579,500 baucar BR1M telah ditunaikan. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 4,597,434 orang telah membuat permohonan BR1M dan 3,580,916 telah diluluskan," kata kenyataan itu hari ini.

Bagi pemohon yang gagal, Kementerian Kewangan memberitahu, rayuan semula BR1M boleh dibuat sehingga 15 Mac dan format khas rayuan boleh didapati di pejabat cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta dimuat turun daripada laman web Kementerian Kewanganwww.treasury.gov.my.

Tambah kenyataan itu, sebanyak 54,531 permohonan borang rayuan telah diterima dengan 31,368 masih diproses dan 21,827 diluluskan.

"Antara sebab permohonan BR1M tidak berjaya ialah maklumat di borang tidak lengkap atau salah, pendapatan isi rumah melebihi RM3,000 dan memohon lebih daripada sekali oleh individu dalam isi rumah yang sama.

"Kerajaan amat berpuas hati dengan kejayaan program BR1M yang sedang dilaksanakan dengan giatnya. Bagi mereka yang tidak berjaya dan belum mengemukakan rayuan, mereka diminta berbuat demikian dengan segera," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment