My Add

Saturday 18 February 2012

Gagasan 1Malaysia diterima umum – Kaji selidik UM

KUALA LUMPUR, SABTU, 18 Februari, 2012: Walaupun kaji selidik Universiti Malaya (UM) menunjukkan rakyat Malaysia menerima secara umum konsep 1Malaysia, namun begitu setiap kelompok kaum di negara ini masih mempunyai tanggapan sempit terhadap gagasan tersebut.

"Dengan lain perkataan, rakyat Malaysia masih bimbangkan impak 1Malaysia itu ke atas kehidupan dan hubungan sesama mereka.

“Dengan demikian, ia merupakan cabaran terhadap pemimpin negara dan akar umbi untuk menterjemahkan retorik itu menjadi kenyataan,” kata Institut Antarabangsa bagi Dasar dan Pengurusan Awam Universiti Malaya (Inpuma) mengenai konsep 1Malaysia yang dibuat dari Mei sehingga Julai 2011.

Berdasarkan kaji selidik itu, Inpuma merasakan kerajaan perlu terus memberi jaminan kepada semua komuniti berhubung kedudukan mereka di Malaysia.

"Untuk merapatkan jurang persepsi tersebut, hubungan antara kaum di dalam negeri dan masyarakat tidak seharusnya dianggap sebagai ”kosong” tetapi institusi dan dasar mestilah dilihat sebagai inklusif dan saksama - dalam mengimbangi kepentingan majoriti dan minoriti,” kata Inpuma.

"Dengan kata lain, perbezaan antara majoriti dan minoriti (penting dalam konteks pendekatan pembinaan negara bangsa Malaysia) bukanlah sesuatu yang berbeza.

“Tetapi perbezaan membuka skop dan ruang kepada saling melengkapi di mana negara menjana kekuatan daripada setiap kaum,” menurut Inpuma. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment