My Add

Friday 24 February 2012

Genap 20 tahun pemergian Sudirman

SUASANA majlis tahlil dan bacaan Yasin sempena genap 20 tahun pemergian Allahyarham Sudirman Haji Arshad di Masjid Angkasapuri, Kuala Lumpur, malam tadi.

Oleh SAFRIZAL AZMI

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Semalam genap 20 tahun penghibur kesayangan ramai, Datuk Sudirman Haji Arshad kembali ke rahmatullah.

Sebagai mengenang beliau, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menganjurkan majlis tahlil di Masjid Muhammadi, Angkasapuri di sini malam ini.

Majlis dimulakan dengan solat maghrib berjemaah diikuti bacaan Yasin yang diketuai oleh Imam Yusuf Zakaria.

Antara teman rapat Allahyarham yang menyertai majlis tahlil itu ialah penulis lirik tersohor, Habsah Hassan dan pelakon veteran, Rubiah Suparman serta kira-kira 100 kakitangan RTM.

Turut hadir Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV, Norliza Ali; Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Dr. Ahmad Jailani; Pengarah Sumber Manusia RTM, Mohd. Nadzir Don dan Penerbit Eksekutif Hiburan TV, Shamsuriah S. Anwar.

Allahyarham Sudirman semasa hayatnya pernah menjulang nama negara di Dewan Royal Albert, London apabila merangkul anugerah Penghibur Asia Nombor Satu pada 1989.

Penyanyi serba boleh yang popular dengan pelbagai rentak lagu antaranya Balik Kampung,Merisik Khabar, Terasing, Milik Siapakah Gadis Ini, Antara Hujan dan Airmata, Dari Jauh Ku Pohon Maaf dan Salam Terakhir merupakan artis yang disenangi oleh semua kaum.

Sempena mengenang Ikon 1Malaysia itu, RTM menerusi Orkestra RTM turut mengadakan persembahan khas untuk Allahyarham iaitu Konsert 'Sudirman... Abadi Di Hati' di Auditorium Perdana, Wisma Radio pukul 9 malam esok yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1.

Antara artis yang menjayakan konsert tersebut adalah Datuk Sharifah Aini, Alyah, Jaclyn Victor dan Dayang Nurfaizah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment