My Add

Friday 24 February 2012

TTPM khas untuk pelancong diwujudkan


ISNAIL Sabri Yaakob beramah mesra dengan pasangan pelancong dari England, Peter Merch dan isterinya semasa mempromosikan pemfailan tuntutan pelancong di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) mewujudkan satu mekanisme tuntutan ganti rugi baru khusus untuk pelancong asing dengan menyediakan kemudahan tebus rugi dalam tempoh yang singkat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebiasaannya proses perbicaraan tuntutan dan menuntut ganti rugi hanya dapat dilaksanakan selepas 14 hari aduan dibuat dan tempoh itu tentunya tidak sempat untuk pelancong asing kerana tempoh kunjungan mereka ke negara ini terhad.

Kata beliau, menerusi mekanisme khas itu, kes melibatkan pelancong asing akan dibicarakan dalam tempoh mereka berada di negara ini.

"Kita mahu dunia tahu bahawa Malaysia adalah negara yang selamat untuk berbelanja selain kepentingan mereka dilindungi. Kita akui sebelum ini pelancong tidak dimaklumkan bahawa mereka mempunyai hak sama seperti warganegara Malaysia menerusi TTPM ini.

"Jika kita terus mengekalkan sistem sedia ada untuk pelancong, ia sememangnya mewujudkan rasa tidak puas hati di kalangan pelancong dan seterusnya memberi imej buruk terhadap Malaysia," katanya pada sidang akhbar mengenai promosi pemfailan TTPM di kalangan pelancong asing di sini hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, terdapat dua kaedah yang dilaksanakan bagi membantu pelancong melindungi hak mereka setelah mereka memfailkan saman kepada pihak TTPM.

Pertama kata beliau, TTPM akan mempercepatkan proses perbicaraan sekiranya pelancong masih mempunyai beberapa hari lagi tempoh lawatan di negara ini sebelum pulang ke negara asal supaya mereka dapat mengetahui keputusan lebih awal.

Kaedah kedua pula katanya, jika pelancong ditipu pada hari terakhir sebelum pulang ke negara asal dan telah memfailkan tuntutan, TTPM akan memberi kebenaran kepada mereka untuk tidak perlu hadir pada hari perbicaraan.

"Bagi kes kedua ini pelancong tidak perlu risau tentang perbicaraan kerana ia tetap akan diteruskan dan sekiranya didapati tuntutan mereka adalah benar, maka keputusan ganti rugi akan dimaklumkan terus kepada mereka.

"Namun, kita prihatin terhadap kes-kes pelancong yang mula menyedari mereka ditipu hanya setelah pulang ke negara asal. Kes begini kita masih dalam proses perbincangan dengan Kementerian Pelancongan bagi melihat adakah relevan untuk pelancong mendapatkan hak mereka yang sepatutnya," katanya.

Ismail Sabri berkata, sejak tahun 2000 hingga 2011, TTPM telah berjaya menyelesaikan 366 kes tuntutan di kalangan pelancong dengan warga Singapura mencatat jumlah aduan dan tuntutan paling tinggi iaitu 102 kes.

Beliau menambah, bagi peniaga yang ingkar membayar ganti rugi walaupun disabit kesalahan, TTPM akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna dengan dikenakan denda RM250,000 untuk syarikat dan RM15,000 untuk individu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment