My Add

Friday 24 February 2012

Guna nama polis untuk kaut wang RM100,000

KLANG, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Sepasang kekasih yang menggunakan nama seorang pegawai polis untuk memperoleh wang daripada keluarga dua orang kena tuduh kes dadah diberkas dalam operasi berasingan di Taman Sentosa dan Bandar Puteri di sini, semalam.

Dua suspek berusia 26 dan 27 tahun itu diberkas kira-kira pukul 7.45 malam selepas keluarga kedua-dua mangsa membuat laporan polis.

Salah seorang daripada mereka merupakan pemilik kedai menjual telefon bimbit dan pasangan itu dikatakan memperoleh wang hampir RM100,000 daripada keluarga kedua-dua mangsa.

Bayaran itu kononnya untuk membantu membebas atau mengurangkan hukuman terhadap anak-anak mereka.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, kes itu terbongkar apabila keluarga kedua-dua mangsa berjumpa dengan polis setelah tidak berpuas hati kerana bantuan yang dijanjikan tidak ditunaikan.

Beliau berkata, selepas pegawai yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan itu menjelaskan yang dia tidak mengenali pasangan terbabit, keluarga mangsa terus membuat laporan polis.

“Polis mengadakan satu operasi khas selepas menerima laporan tersebut untuk memerangkap kedua-dua suspek dan mereka akhirnya berjaya diberkas.

“Kami sedang menyiasat bagaimana pasangan itu memperoleh maklumat mengenai mangsa, keluarganya dan pergerakan kes. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Mohamad dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan janji pihak tertentu yang kononnya dapat membantu membebaskan orang yang ditahan bersabit kes-kes jenayah dengan sejumlah bayaran apatah lagi menggunakan nama pegawai atau anggota polis.

“Itu semua percubaan untuk menipu dan boleh memburukkan nama pihak polis. Saya juga minta orang ramai yang pernah terlibat dengan kes seumpama ini agar membuat laporan,” kata beliau. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment