My Add

Friday 10 February 2012

Hishammuddin saran Raja Petra buat laporan polis

PUTRAJAYA, JUMAAT, 10 Februari, 2012: Pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin disaran supaya membuat laporan polis berhubung dakwaannya kematian ahli perniagaan, Datuk Patrick Wong Kie Yik yang terjatuh dari balkoni rumahnya pada 19 November 2009, sebenarnya dibunuh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan itu bukan hanya membolehkan pihak polis menjalankan siasatan tetapi juga untuk mengelak sebarang spekulasi yang berpanjangan di kalangan masyarakat umum.

''Setakat ini, saya tidak terima apa-apa butiran tentang dakwaan terbaru itu dan apa yang penting polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan layan perkara yang berkaitan dengan siasatan rasmi.

''Tetapi terserah kepadanya (Raja Petra) jika dia merasakan perlu buat (laporan polis), buatlah dan polis akan ambil tindakan berasaskan laporan yang dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan dengan Asisten Komisioner Untuk Perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR), Erika Feller di sini, semalam.

Semalam, Raja Petra mendakwa kematian bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia itu mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan pasir membabitkan pemimpin pakatan pembangkang di Selangor.

Beliau mendakwa, ia berdasarkan pertemuannya dengan mendiang di United Kingdom pada Oktober 2009 atau sebulan sebelum kejadian itu, di mana Patrick berjanji untuk mengumpul maklumat mengenai penyelewengan pasir untuk disiar dalam Malaysia Today.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, dakwaan Raja Petra itu adalah sesuatu yang serius kerana ia berkaitan dengan perkara-perkara yang boleh menimbulkan spekulasi yang amat dahsyat.

''Ini kerana dakwaan itu berhubung kait dengan pasir yang pastinya melibatkan wang ringgit yang banyak. Saya hanya boleh memberi ulasan jika ia sampai ke peringkat rasmi (laporan polis)," katanya.

Mengenai kewajaran membawa pulang Hilmi Hazimin Malek yang kini ditahan di Batam, beliau berkata, ia bergantung kepada siasatan dan laporan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment