My Add

Friday 10 February 2012

Kematian Patrick tidak ditutup

Oleh ASSIM HASSAN

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 10 Februari, 2012: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan kes kematian bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) Datuk Patrick Wong pada 2009 tidak pernah ditutup dan siasatannya masih berjalan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, polis juga telah mengklasifikasikan ia sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sejak awal lagi.

"Kes ini tidak pernah ditutup dan siasatan mengenainya masih lagi berjalan. Kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau mengulas artikel bertajuk Episode 2: The Murder of a Whistleblower yang disiarkan oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin dalam portal berita online Malaysia Today.

Raja Petra mendakwa kematian Patrick Wong mempunyai kaitan dengan penyelewengan pasir membabitkan pemimpin pakatan pembangkang di Selangor.

Beliau turut mendakwa ada bertemu dengan mendiang di United Kingdom pada Oktober 2009 dan Patrick Wong telah berjanji untuk mengumpul maklumat mengenai penyelewengan tersebut.

Raja Petra turut percaya perompak bersenjata parang yang memecah masuk rumah mendiang di Bukit Bandaraya, Bangsar, ialah pembunuh yang diupah oleh pihak terbabit dalam penyelewengan pasir kerana bimbang isu rasuah tersebut didedahkan.

Dalam kejadian pada 19 November 2009 lalu, Patrick Wong, 57, yang ketika itu berada dalam bilik komputer dilaporkan maut apabila terjatuh dari balkoni, ketika cuba menyelamatkan diri selepas panik melihat dua daripada tiga perompak menyerbu tingkat atas rumahnya.

Bagaimanapun, anak perempuan dan lelaki Patrick Wong yang masing-masing berusia 18 dan 25 tahun serta pembantu rumah tidak diapa-apakan, sebaliknya perompak hanya melarikan dompet mangsa berisi ASD300 (RM1,018) dan telefon bimbit milik anak perempuan mendiang.

Sementara itu, Mohd. Bakri ketika dihubungi hari ini enggan mengulas mengenai kemungkinan Raja Petra akan diminta tampil membantu siasatan kes tersebut sekiranya mempunyai bukti.

"Sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat diminta tampil tanpa mengira siapa," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment