My Add

Wednesday 22 February 2012

Isu laporan WSJ: Anwar tak saman

ANWAR di temubual pemberita selepas bertemu hampir sejam dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Effendy Rashid


Enggan mohon maaf, dakwa sokongan kepada Israel bersyarat

Oleh Nazura Ngah, Haspaizi Mohd Zain dan Zanariah Abd Mutalib
KUALA LUMPUR, SELASA, 21 Februari, 2012: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau tidak akan menyaman Wall Street Journal (WSJ) berhubung kenyataannya menyokong segala usaha melindungi keselamatan Israel kerana laporan itu adalah tepat.

“Kenapa saya perlu saman (WSJ)? Mereka letakkan perkataan 'contingent’ (tertakluk pada syarat) (dalam laporan itu),” katanya kepada pemberita mengulas pertemuannya hampir sejam dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Anwar berkata, beliau sudah menjelaskan supaya jangan ada salah tafsiran mengenai pengiktirafannya terhadap Israel kerana ia tidak berbangkit selagi syarat pengunduran tentera Israel dari wilayah Palestin dan Arab, menghentikan keganasan, menghentikan kepungan terhadap Gaza dan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin tidak dimeterai.

Bagaimanapun Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya menegaskan walaupun rejim Zionis itu menghentikan kezalimannya terhadap umat Islam di Palestin termasuk mengembalikan semula Baitulmaqdis, Islam tetap tidak mengiktiraf kewujudan Israel sebagai sebuah negara.

Katanya, tindakan Anwar sedia memberi perlindungan kepada Israel walau apa syaratnya adalah umpama cubaan ‘menghalalkan’ kewujudan negara Yahudi yang terbina hasil rampasan hak umat Islam Palestin.

“Isu Palestin ini bukan saja membabitkan saudara kita di sana, malah Islam tindak pernah mengiktiraf pihak yang merampas hak orang lain, dalam konteks ini Israel terbina daripada pertumpahan darah umat Islam di bumi Palestin dan hak mereka diambil Yahudi. 

“Walaupun mereka mematuhi beberapa syarat seperti menghentikan kekejaman terhadap umat Islam dan mengembalikan semula Baitulmaqdis, apakah mereka sanggup mengembalikan semula tanah Israel kepada rakyat Palestin,” katanya ketika dihubungi.

Anwar sebelum ini mendapat kritikan hebat tokoh agama dan pemimpin politik yang menyifatkan sokongan itu sebagai haram dan dilarang Islam, selepas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu membuat kenyataan pada sesi temu bual dengan WSJ di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya.

Mengulas pertemuan dengan Nik Abdul Aziz, Anwar berkata, Menteri Besar Kelantan itu mendengar dan memahami pendirian beliau.

“Saya rasa baik sebab saya juga sudah memberi penjelasan mengenai keraguan itu tetapi saya beritahu saya juga tunduk dengan apa yang dikehendaki oleh FATAH dan HAMAS seperti dirundingkan di Doha dua minggu lalu,” katanya.

Dalam laman sosial Facebook, Nik Aziz mengulangi pendirian beliau dan Majlis Syura Ulama PAS serta parti itu bahawa mereka tidak sesekali mengiktiraf walau seinci pun hak Yahudi terhadap bumi Palestin yang dirampas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya, berkata Allah tidak pernah membezakan zionis dan Yahudi kerana kedua-duanya sama iaitu tidak mengiktiraf kewujudan agama lain di muka bumi ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan pendirian Anwar itu membuktikan beliau mahu membersihkan ‘dosa’ menyinggung perasaan orang Yahudi apabila menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meniru gagasan 1Malaysia atas nasihat APCO yang dituduh sebagai agen Yahudi.

Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, tindakan Anwar tidak sudah dijangka kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu lebih mengutamakan sokongan Amerika dan Yahudi untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan menjadi Perdana Menteri.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata penjelasan kepada Nik Aziz adalah satu lakonan politik.

“Anwar hanya anggap Nik Aziz yang penting dan ahli Majlis Syura PAS tidak penting, justeru kita desak Anwar memberi penjelasan kepada Majlis Syura,” katanya.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, berkata apabila membuat keputusan tidak menyaman WSJ, bermakna Anwar mengaku bersalah, sebab itu dia tidak boleh memutar belit apa yang dilaporkan akhbar itu.

No comments:

Post a Comment