My Add

Wednesday 22 February 2012

Jualan buku ilustrasi seks dihenti serta-merta

KUALA LUMPUR, SELASA, 21 Febuari, 2012: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mendapatkan kerjasama premis buku di seluruh negara untuk menghentikan sementara jualan buku Where Did I Come From yang didakwa mengandungi ilustrasi melampau hubungan kelamin, berkuat kuasa serta-merta. 

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, berkata jualan buku berkenaan akan dihentikan sehingga kajian terhadapnya selesai dan keputusan dibuat berhubung perkara itu.

Sambil menjelaskan langkah itu bertujuan meredakan bantahan orang ramai, katanya, KDN akan mengambil tindakan terhadap buku hasil karya Peter Mayle itu mengikut peruntukan Seksyen 7 Subseksyen 1, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau berkata, buku berkenaan akan dikenakan perintah larangan dan diharamkan sekiranya terbukti mengandungi elemen memudaratkan moral masyarakat serta menggemparkan fikiran orang ramai. 

“Jika kandungannya didapati menyalahi peraturan Seksyen 7 Subseksyen 1, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, arahan untuk menghentikan jualannya akan dikeluarkan. 

“Pengedar yang didapati masih mengimport serta menjualnya boleh didakwa mengikut Seksyen 8 Subseksyen 2 akta sama. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya ,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Akhbar semalam melaporkan Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO mendedahkan wujud aktiviti mengimport dan mengedar buku ilustrasi seks di beberapa kedai buku di ibu negara tanpa kebenaran KDN dengan sasaran pembacanya di kalangan kanak-kanak. 

Buku bertajuk Where Did I Come From itu berharga RM39.80 senaskhah dan memaparkan ilustrasi melampau menunjukkan hubungan kelamin, selain maklumat lengkap posisi seks tertentu dilakukan pasangan lelaki dan wanita dewasa sehingga berlaku proses kehamilan serta kelahiran bayi. 

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh, dipetik sebagai berkata, hasil pemantauan mendapati buku itu diedarkan secara meluas tanpa pengawasan dan pemantauan pihak berkenaan, yang dikhuatiri boleh menyumbang kepada keruntuhan moral golongan muda. = BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment