My Add

Friday 3 February 2012

IWK saman Yayasan Selangor tuntut tunggakan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 03 Februari, 20112: Syarikat pembentungan, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) memfailkan saman terhadap Yayasan Selangor bagi menuntut tunggakan caj perkhidmatan pembentungan berjumlah RM851,792.80.

Saman tersebut difailkan pada 24 November tahun lalu melalui firma guaman, Tetuan Arifin & Partners di Mahkamah Tinggi di sini.

Pada prosiding hari ini, Hakim Datin Zabariah Yusof menetapkan 23 Februari ini untuk pengurusan kes tersebut.

Peguam Sharen Rosli hadir bagi pihak IWK selaku pihak plaintif manakala peguam Nasrullah Anuar mewakili Yayasan Selangor yang dinamakan sebagai defendan.

Menurut Sharen, pihak defendan menyerahkan dokumen berkaitan kepada IWK bagi tujuan semakan caj asas pembentungan untuk dipertimbangkan oleh pihak plaintif.

Semakan tersebut adalah bagi menentukan sama ada defendan layak untuk dikenakan caj pembentungan berdasarkan harga kerajaan (government rate).

Mengikut pernyataan tuntutan, IWK mendakwa, caj-caj yang dikenakan ke atas yayasan tersebut bagi perkhidmatan yang diberikan ditetapkan di bawah Jadual Kedua Peraturan 4(1)(b) Peraturan Perkhidmatan Pembentungan (Caj) 1994.

Bagaimanapun, defendan didakwa gagal atau enggan membayar caj-caj bagi perkhidmatan setakat 31 Mei tahun lalu walaupun surat tuntutan bayaran melalui peguam dihantar kepada yayasan terbabit.

Oleh yang demikian, IWK menuntut agar jumlah sebanyak RM851,792.80 bagi perkhidmatan sehingga 31 Mei tahun lalu dibayar dengan faedah sebanyak empat peratus dikenakan ke atas jumlah tersebut.

Plaintif turut memohon kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, menurut pernyataan pembelaan, defendan mendakwa bahawa pihaknya tidak pernah menerima sebarang penyata bil bulanan atau tahunan.

Selain itu, defendan mendakwa IWK tidak pernah memberi sebarang perkhidmatan kepada Yayasan Selangor dan jumlah dituntut plaintif adalah salah, melampau dan tidak pernah dipersetujui kedua-dua pihak. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment