My Add

Friday 3 February 2012

'Jangan sebar berita palsu'

ISMAIL Omar menunjukkan isyarat bagus sejurus tiba dari melakukan lawatan kerja ke London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. Turut menyambutnya Khalid Abu Bakar (kanan).

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

SEPANG Feb. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang selamat tiba dari London hari ini menasihatkan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu kematian beliau agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Ismail yang melahirkan rasa syukur berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja memberi kesan buruk kepadanya malah kepada pihak lain juga.

"Saya lebih risau kerana ia memberi kesan kepada orang yang sayang kepada kita.

"Kalau nak buat lawak, ada banyak lawak yang boleh dibuat dan bukannya pasal kematian," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Beliau yang berada dalam keadaan sihat dilihat sempat bersalaman dengan pegawai-pegawai kanan polis yang menyambut kepulangannya ke tanah air pada pukul 8 pagi tadi selepas melakukan lawatan kerja selama lima hari di London.

Polis semalam menyiarkan beberapa keping gambar Ismail di New Scotland Yard, London dalam laman sosial Facebook bagi membuktikan bahawa beliau dalam keadaan sihat.

Enam keping diambil semasa lawatan kerja di New Scotland Yard itu jelas menunjukkan Ismail sihat dan ceria, sekali gus menafikan khabar angin beliau sudah meninggal dunia yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), laman sosial dan Twitter baru-baru ini.

Mengulas lawatan kerja ke London, Ismail berkata, beliau telah melawat Metropolitan Polis London dan mengadakan perbincangan mengenai isu kepolisan.

"Saya juga mengambil kesempatan melawat persiapan Olimpik di London dan menemui pegawai tertinggi yang terlibat menguruskan persiapan tersebut.

"Saya rasa ia peluang terbaik untuk saya menimba pengalaman dan juga pertukaran idea mengenai isu-isu kepolisan," katanya.

Katanya, beliau turut melawat Pameran Keselamatan Polis yang mempamerkan peralatan terkini yang berupaya meningkatkan kemampuan komunikasi dan keselamatan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment