My Add

Sunday 26 February 2012

Jangan terlalu bergantung pada sektor awam – Subramaniam

Oleh AZRAI MOHAMMAD

KUALA LUMPUR, SABTU, 25 Februari, 2012: Golongan muda yang sedang mencari pekerjaan tidak seharusnya terlalu bergantung kepada peluang kerja dalam sektor awam.

Sebaliknya Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, mereka perlu bersikap lebih terbuka dengan bekerja di sektor swasta atau memilih untuk menjadi usahawan.

“Mereka perlu berusaha mendalami bidang yang mendapat sambutan tinggi dalam pasaran kerja seperti kejuruteraan bagi memudahkan mereka mendapat kerja.

“Di samping itu, mereka juga perlu diberikan nasihat serta bimbingan yang betul,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program MyCareer 2012 di Universiti Putra Malaysia di Serdang hari ini.

Program tersebut adalah anjuran Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India (SITF) yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel.

Mengulas lanjut kata Subramaniam, bagi tempoh dua ke tiga tahun akan datang, pengambilan pekerja di sektor awam akan menjadi lebih terhad disebabkan pelaksanaan had usia persaraan yang dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.

Dalam pada itu katanya, program yang disertai oleh 40 agensi kerajaan dan swasta seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Axiata Group Bhd. itu memberi peluang kepada golongan muda India untuk mendapatkan pekerjaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment