My Add

Sunday 26 February 2012

Pasangan adik-beradik juara KL Heritage Xplorace 2012

Oleh AZHARI ZAINOODDIN

KUALA LUMPUR, SABTU, 25 Februari, 2012: Pasangan adik beradik Farhan Razak, 24, dan Fawaz Razak, 19, mengungguli Perlumbaan Kuala Lumpur Heritage Explorace 2012 yang berlangsung hari ini di sekitar kawasan segitiga emas Kuala Lumpur.

Dengan kemenangan itu, mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM1,500, dua buah telefon pintar iPhone 4s, keahlian percuma selama sebulan Celebrity Fitness dan sijil setelah berjaya menewaskan 264 kumpulan lain.

Farhan yang juga pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Muadzamshah, Pahang berkata, beliau yang teruja dengan pertandingan itu tidak menyangka berjaya membawa pulang hadiah utama berkenaan memandangkan saingan sengit diberikan oleh semua peserta.

Katanya, dia dan adiknya tidak menghadapi sebarang masalah untuk menamatkan perlumbaan itu kerana telah membuat persediaan awal dengan berjoging serta senaman kecergasan lain sejak seminggu lalu.

"Alhamdulillah dengan tekad dan semangat untuk menghabiskan saingan kami berjaya membawa pulang kemenangan biarpun terdetik di hati untuk menarik diri apabila adik mengalami kekejangan kaki ketika tiba di dua 'check point' terakhir.

"Menang atau kalah bukanlah keutamaan kerana kami memasuki perlumbaan ini sekadar untuk mengisi masa terluang dan kemenangan ini merupakan satu bonus," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah perlumbaan itu di Menara Kuala Lumpur hari ini.

Majlis penyampaian hadiah itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamarudin Siaraf.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zuraidah Mohd. Said.

Perlumbaan yang masuk kali kedua penganjuran itu melibatkan 530 peserta yang terdiri daripada 265 kumpulan yang perlu berjalan sejauh 15 kilometer dan menerokai 12 'check point' untuk menghabiskan perlumbaan mereka dengan menjadikan Menara Kuala Lumpur sebagai garisan permulaan dan penamat.

Tempat kedua pula dimenangi pasangan sahabat iaitu Edeareena Muhamad Nor, 29, dan Irman Iswadi Rahim, 30, yang berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM1,000, dua buah iPad 2, keahlian percuma untuk sebulan Celebrity Fitness dan sijil.

Manakala tempat ketiga dimenangi pasangan Ahmad Rozaidi Ujang Siakir, 37, dan Mohamad Faizal Othman Padilok, 29, yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM750, hamper, sebulan keahlian percuma Celebrity Fitness, baucar petronas dan sijil.

Perlumbaan yang dianjurkan oleh Menara Kuala Lumpur itu akan diteruskan lagi tahun depan dengan menyasarkan sebanyak 600 pasukan untuk menyertainya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment