My Add

Monday 27 February 2012

Jentera BN perlu bekerja secara sistematik tarik sokongan

KLANG, AHAD, 26 FebRUARI, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Selangor agar bekerja dengan lebih sistematik dan terancang untuk menarik sokongan rakyat di negeri ini.

Perdana Menteri berkata, jentera BN juga perlu bekerja sebagai satu pasukan dan sentiasa mengamalkan sikap mesra pengundi di kawasan masing-masing.

"Setiap jentera BN juga perlu mengenali pengundi di kawasan mereka dan kalau perlu, hubungi mereka dengan cara menelefon setiap seorang daripada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Selangor di Kompleks Datuk Shaari, Jeti Pulau Ketam di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed dan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim. 

Najib yang juga Pengerusi BN Selangor mengingatkan setiap ahli BN supaya terus memberi sokongan kepada siapa sahaja yang dipilih menjadi calon bagi mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

"Kalau kita tak boleh jadi calon jangan sabotaj parti, kita mesti akur kepada pucuk pimpinan buat keputusan.

"Sekiranya kita sabotaj parti ibarat kita jaringkan gol sendiri dan kita akan kalah dan bila kalah, kita akan merana. Cukuplah empat tahun Selangor ditadbir Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Jangan bagi tempoh lanjutan sebab nanti susah hendak dapat balik, inilah peluang terbaik untuk Selangor dikembalikan kepada BN," tegas beliau.

Dalam pada itu, Najib juga mahu setiap pemimpin parti komponen BN supaya menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum.

"Dalam BN kita kena jaga semua orang, calon BN mesti jaga semua rakyat, kalau kita UMNO, kena jaga juga masyarakat berketurunan Cina, India, Punjabi dan Sikh serta Orang Asli pun kita kena jaga.

"Begitu juga calon dari MCA, kita mesti jaga orang Melayu dan India," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment