My Add

Wednesday 22 February 2012

Kadir 'racunkan' kami setia UMNO

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhzhMQjXM9DEgrnZbTuGGkKN972MUNgW4jnLj9TnMy6gPTsJD0InzNuubj40OaYurw1366CJq6bFZQLRhMW_cVb4xWwR_9ZLFLo1K7JSy_hlpQxKeCjAyMZAUit1WX6mqavi7f6iJsG3O7j/s1600/images.jpeg
Kadir Sheikh Fadzir,
Oleh ZULKIFLI JALIL

KETIKA asyik bersembang dengan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Musa Sheikh Fadzir semalam mengenai perihal politik semasa Pulau Mutiara, beliau secara spontan mengalih perhatian penulis kepada satu isu yang tidak kurang pentingnya.

Isu mengenai soal taat setia segelintir veteran UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang ketika ini agak ketara tindak-tanduk 'terarah' ke pihak sebelah sana - pembangkang.

Bercakap dari Menara UMNO, Jalan Macalister di George Town itu, Musa, 62, mengimbas kembali kisah manis keluarganya yang rata-rata berkecimpung dalam politik. Ia dipelopori abangnya yang juga anak kedua daripada 12 beradik, bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, 73; Musa sendiri; Ketua UMNO Bahagian Kulim Bandar-Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan anak saudara (anak kakak sulung), Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Fauzar.

"Memang dari kecil, kami adik beradik diasuh supaya cintakan UMNO. Bila waktu makan, abang (Abdul Kadir) ketika itu Exco Pemuda di bawah ketuanya, Datuk Harun Idris (Allahyarham) sentiasa semat dan tanamkan kepada kami adik beradik bahawa tanpa UMNO, perjuangan untuk memartabatkan orang Melayu tidak akan tercapai lah ni.

"UMNO, kata abang sahajalah yang pertahankan hak-hak orang Melayu, inilah parti yang kita perlu percaya...inilah yang ditanamkan kepada saya sejak kecil.

"Waktu saya di bangku sekolah, saya lihat dia (Abdul Kadir) buat teguran yang ikhlas dalam lingkungan parti...UMNO sahajalah yang berjuang untuk orang Melayu tetapi parti-parti lain tidak boleh, dia kata," kata beliau.

Makna kata, tegas Musa: "Kadir 'racunkan' kami adik beradik supaya mesti sentiasa taat setia kepada UMNO."

Atas sebab inilah, Musa meminta mana-mana veteran UMNO termasuk dari BN supaya jangan mudah merajuk dan membawa diri jauh dari parti.

"Kita kena ingat masa kita dahulu, orang sokong kita. Ada juga orang merajuk tapi kita pergi pujuk dan akhirnya orang tu mai (kembali) kepada kita.

'Cuma, kita perlu tanya kepada diri, kenapa hari ini kita buat (menjauhkan diri dari parti dan cenderung pula menyokong pembangkang)," kata Musa.

Sepatutnya apa yang perlu dilakukan oleh individu-individu yang cuba menjauhkan diri dari parti ini supaya berbincang mengenai permasalahan yang dihadapi secara keluarga dengan duduk dalam UMNO.

Tetapi, kata beliau, janganlah menggunakan media-media propembangkang yang kemudian pasti menghentam balik parti melalui kenyataan-kenyataan yang diperoleh daripada anggota veteran tadi.

"Ini kerana generasi sekarang akan tengok (menilai), tentu kata mereka macam ada yang tak kena.

"Jadi, saya serulah kepada mereka ini supaya datanglah dan duduk kembali dalam parti...saya fikir Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan timbalannya (Tan Sri Muhyiddin Yassin) adalah orang yang paling mudah untuk mereka jumpa dan ceritakan masalah yang dihadapi, PM sendiri tak ada protokol (hendak jumpa), bincanglah. Kalau tidak, pergilah ke ibu pejabat parti, luahkan apa yang terbuku di hati," katanya.

Musa menarik perhatian bahawa beliau juga kerap mengkritik parti. Tetapi ia bersandarkan landasan yang dilingkungi parti.

Antaranya, beliau mempersoalkan mengapa tidak ramai menteri dan timbalan menteri yang mempertahankan Perdana Menteri dan timbalannya apabila kedua-dua pemimpin itu ditohmah oleh pembangkang.

"Macam Perdana Menteri 'kena' semasa sambutan Thaipusam tempoh hari, kenapa PM sendiri yang kena membela diri sendiri.

"Hari ini kita tengok ada sesetengah timbalan menteri sahaja yang berani tampil ke depan untuk berbuat demikian, antaranya yang saya boleh sebut Datuk Puad Zarkashi dan Datuk Ahmad Maslan.

"Yang lain mana, adakah kerana takut kepada bayang-bayang sendiri atau ada kelemahan sendiri," katanya.

Menurut beliau, menteri dan timbalan menteri terbabit sepatutnya lebih banyak berkomunikasi dan mempertahankan kerajaan dengan kenyataan-kenyataan berfakta untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan pembangkang.

"Ini yang saya tengok kebanyakan yang bercakap adalah NGO-NGO sedangkan timbalan menteri, saya percaya mereka mempunyai fakta dan statistik mengenai sesuatu isu daripada kementerian masing-masing untuk menangkis sesuatu. Misalnya dakwaan isu ekonomi yang tidak berasas daripada pembangkang," kata beliau.

Sambung Musa lagi: "Itulah yang saya nak pesan kepada golongan veteran parti tadi yang kini nampaknya cenderung kepada pembangkang.

"Janganlah kita ikut amarah kita sahaja. Kadang-kala apa yang kita cakap akan merosakkan parti. Kenapa mesti gunakan perkara itu sekarang."

Seingat Musa juga belum pernah terjadi dalam tempoh 60 tahun beliau bergelumang dalam UMNO, ada individu yang mengkritik parti diambil tindakan.

"Jadi, orang-orang macam ini yang dahulunya pegang jawatan tinggi dalam parti dan duduk dalam Kabinet, mereka patut bersyukurlah.

"Kalau dahulu, orang dengar, sokong dan sayang kita, kenapa hari ini kita tak boleh balas balik jasa pemimpin kita itu.

"Cuma, kalau masih terus macam itu lagaknya, elok 'bersara' sahajalah, rakyat bukannya tidak boleh menilai, dahulu bersama kerajaan, kini tong ni, tong tu pula," kata Musa. - Utusan Malaysia, 22 Februari, 2012

No comments:

Post a Comment