My Add

Monday 20 February 2012

Malaysia -Thailand bawa anjakan baru pembangunan

MUSTAPA Mohamed menyampaikan cenderamata kepada Wan Muhamat Noor Mata sambil diperhatikan Apanin Setanuvoy (kiri) di Dataran Jabatan Perbandaran Buketa, Thailand, semalam.

BUKETA, SELATAN THAILAND, AHAD, 19 Februari, 2012: Kerjasama Malaysia-Thailand yang diterjemahkan menerusi pembinaan Jambatan Persahabatan menghubungkan Bukit Bunga, Jeli dengan pekan Buketa, Narathiwat telah membawa anjakan baru dalam pembangunan kedua-dua kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pembangunan paling jelas dapat dilihat di pekan Buketa yang sebelum ini hanya sebuah perkampungan terpencil tetapi kini bakal dihubungkan oleh lebuh raya empat lorong

Menurut beliau, pembangunan itu tidak terhenti di situ sebaliknya akan berkembang dalam tempoh lima tahun lagi dengan kerjasama Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang sedang merangka pelan pembangunan untuk diaplikasikan di pekan tersebut dan Bukit Bunga.

"Jambatan ini telah mempermudahkan hubungan antara kedua-dua negara yang mana suatu ketika dulu perahu menjadi pengangkutan utama di sini namun sekarang tidak lagi.

"Sekarang lebuh raya empat lorong sudah hampir siap, begitu juga beberapa bangunan perniagaan sedang dibina berhampiran sempadan, jadi amat jelas Jambatan Persahabatan telah membawa perubahan yang ketara," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita sempena sambutan Maulidur Rasul yang disertai hampir 3,000 penduduk Buketa dan 200 rombongan dari Kelantan di Dataran Jabatan Perbandaran Buketa, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Gabenor Yala, Apinan Suethanuwong; Datuk Bandar Buketa, Hamder Aamat dan bekas Speaker Parlimen Thailand, Wan Muhamat Noor Mata.

Jambatan tersebut yang disiapkan pada penghujung 2007 pada mulanya dikenali sebagai Jambatan Muhibah namun ia telah ditukar nama kepada Jambatan Persahabatan pada majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva.

Mengulas mengenai sambutan Maulidur Rasul itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, ia adalah bukti hubungan baik antara rakyat kedua-dua negara yang terjalin sejak sekian lama.

"Memang masyarakat di selatan Thailand sering datang ke Kelantan mengadakan pelbagai aktiviti terutama sekali bola sepak dan pertandingan dikir barat.

"Begitu juga di Kelantan, ada lebih 10,000 masyarakat Siam tinggal di sini, jadi kita mahu hubungan ini kekal dan bertambah baik selain kita berusaha membawa pembangunan sesama kita," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment