My Add

Friday 24 February 2012

Laporan lengkap kepada PM

SHAFEI Abdullah (empat kiri) mendengar aduan penghuni mengenai pelbagai masalah yang mereka hadapi.


Oleh RASMI ABDULLAH
KLANG, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Para penghuni flat Pelangi Indah, Meru di sini berasa lega kerana masalah-masalah yang dihadapi mereka dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Kerisauan mereka berhadapan dengan pelbagai masalah selama ini terhapus sedikit apabila mendapat kunjungan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shafei Abdullah yang meninjau masalah mereka yang selama ini diabaikan oleh kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Antara masalah yang diadukan penghuni di flat tersebut ialah pembinaan dewan dan surau yang terbengkalai, sampah tidak dikutip, sistem pembetungan tidak diurus, tadika tidak sempurna dan penduduk kurang berkemampuan tidak mendapat bantuan.

Shafie yang ditemui pemberita memberitahu, satu laporan lengkap berkaitan masalah penghuni di kawasan tersebut akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar nasib penduduk flat itu segera dibela.

“Penghuni mendakwa sebelum pilihan raya lalu pihak pembangkang telah berjanji akan menyelesaikan masalah itu sekiranya mereka menang tetapi setelah hampir empat tahun memerintah di negeri ini tiada apa yang berubah.

“Mereka hanya pandai berjanji dan bukan menepatinya. Mereka hanya memberi harapan palsu kepada penghuni di sini,” katanya selepas membuat tinjauan bersama penghuni di flat tersebut baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Pelangi Indah, G. Suresh, 38, berkata, dia dan para penduduk amat berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan Perdana Menteri terhadap mereka.

Ujarnya, sebelum ini nasib mereka terabai kerana tiada seorang pun pemimpin kerajaan PKR Selangor yang turun padang untuk membantu menyelesaikan masalah dihadapi penghuni di situ sejak mereka memerintah.

“Sudahlah kami tiada dewan. Kawasan perumahan juga dipenuhi sampah, sistem pembetungan juga tidak terurus.

“Kerajaan negeri juga seolah-olah tidak nampak masalah yang kami hadapi sedangkan di sini ramai yang susah,” katanya.

Suresh turut melahirkan terima kasih kepada Pertubuhan Perikatan Prihatin Malaysia kerana membantu memanjangkan masalah mereka kepada Jabatan Perdana Menteri sehingga masalah itu mendapat perhatian.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Perikatan Prihatin Malaysia, N. Alagan berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada penghuni tiga minggu yang lalu dan segera melaporkan perkara itu kepada Jabatan Perdana Menteri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment