My Add

Friday 24 February 2012

Bandar Sri Damansara kini kotor

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN

PETALING JAYA, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Penduduk Bandar Sri Damansara dekat sini meminta kontraktor baru supaya mencontohi kerja Alam Flora yang sebelum ini mengutip sisa pepejal mengikut waktu ditetapkan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Sri Damansara, Ravindran Raman Kutty, berkata, setelah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menamatkan perkhidmatan Alam Flora tahun lalu dan melantik kontraktor baru, banyak sisa pepejal yang tidak dikutip oleh mereka.

“Jika dulu sampah domestik dikutip tiga kali dalam seminggu, tetapi kini hanya sekali seminggu. Keadaan ini menyebabkan sampah berlonggok dan menjadi busuk.

“Pihak kami telah berjumpa dengan penyelia di MBPJ, namun maklum balas yang diterima sangat mendukacitakan apabila penyelia bertugas tidak mampu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk,” katanya dalam sidang akhbar mengenai masalah tersebut di Bandar Sri Damansara hari ini.

Menurutnya, jika dahulu semasa Alam Flora mengendalikan sisa pepejal di kawasan berkenaan, penduduk di situ sering mengadakan Kempen Kitar Semula.

“Namun kini kami tidak dapat berbuat demikian kerana fokus pada masalah yang paling asas iaitu sampah yang tidak dikutip. Kami terpaksa berjumpa dengan MBPJ setiap kali penduduk di sini membuat aduan mengenai perkara tersebut.

“Masalah seperti itu tidak seharusnya berlaku memandangkan ia adalah perkara paling asas bagi kontraktor pembersihan iaitu mengutip sampah pada waktu yang ditetapkan,” ujarnya.

Jelasnya, pihaknya meminta kontraktor baru mengutip sampah domestik tiga kali seminggu, sampah di kawasan taman permainan dua kali sebulan dan sampah komersial pada setiap hari.

Sementara itu seorang penduduk di kawasan berkenaan, Norazian Kamarudin, 56, ketika ditemui berkata, masalah tersebut pertama kali dihadapi penduduk di situ.

“Dulu kami tidak menghadapi masalah langsung semasa Alam Flora mengendalikan kutipan sampah di sini, tetapi apabila kontraktor baru ambil alih, saya dapat lihat banyak sampah tidak dikutip.

“Keadaan ini menyebabkan pemandangan indah di kawasan ini terjejas, lebih-lebih lagi sampah komersial daripada kedai menyebabkan kawasan sekitar berbau busuk dan kotor,” katanya.

C.K. Teh, 43, turut meluahkan rasa tidak puas hati apabila melihat sampah di taman permainan tidak dikutip.

“Kami bukan sahaja mahu kawasan kediaman kami berada dalam keadaan yang cantik tetapi juga bersih,” tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment