KUALA LUMPUR, RABU, 22 Februari, 2012: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan habeas corpus difailkan oleh kolumnis Arab Saudi, Hamza Kashgari Mohamad Najeeb untuk menentukan penahanan dan penghantarannya dari Malaysia ke Arab Saudi adalah menyalahi undang-undang.
Hakim Datuk Rohana Yusuf membuat keputusan itu di dalam kamar selepas mengadakan pertemuan dengan peguam yang mewakili Hamza, N Surendran dan Fadiah Nadwa Fikri serta Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said dan Amir Nasruddin, yang mewakili responden.
Dalam permohonan habeas corpus itu, Hamza Kashgari, 23, yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW, menamakan Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Surendran, semasa ditemui pemberita berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh responden.
Katanya, mahkamah menolak permohonan itu atas alasan isu habeas corpus menjadi akademik kerana Hamza Kashgari tidak lagi berada di negara ini.
"Kami akan memfailkan rayuan secepat mungkin terhadap keputusan hari ini," katanya.
Peguam yang mewakili Hamza Kashgari memfailkan permohonan habeas corpus pada 13 Februari bagi penentuan bahawa penahanan dan penghantarannya dari Malaysia ke Arab Saudi adalah menyalahi undang-undang. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment