My Add

Tuesday 7 February 2012

Malaysia dipelawa pelbagaikan pelaburan di Turkmenistan

LONDON, SELASA, 07 Februari, 2012: Firma Malaysia wajar mengambil kesempatan daripada pelbagai peluang perniagaan di Turkmenistan yang kini berusaha meningkatkan perkongsian ekonomi dalam lingkungan lebih luas.

Pelawaan itu dibuat oleh Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam pertemuan empat mata pada 1 Februari lepas.

Bercakap kepada pemberita Malaysia di sini semalam, Anifah berkata, antara perkara utama yang dibangkitkan ialah peningkatan penglibatan Malaysia dalam industri, pengangkutan dan komunikasi serta sektor teknologi tinggi dan pelancongan, memandangkan Turkmenistan sedang melaksanakan pelbagai projek infrastruktur serta inisiatif perubahan secara besar-besaran.

"Presiden Berdimuhamedov yang pada tahun lepas bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat hubungan kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi, telah membayangkan kepada saya yang kerajaannya akan memberi layanan mesra kepada sebarang kemungkinan penglibatan dan pelaburan Malaysia dalam ekonomi Turkmen,” katanya.

Pasaran Turkmen yang pesat membangun serta iklim pelaburan yang baik di negara itu telah membentuk platform untuk kerjasama jangka panjang dengan komuniti perniagaan Malaysia.

Turkmenistan juga dalam proses mewujudkan kedutaan di Kuala Lumpur. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment