My Add

Monday 27 February 2012

Masih gagal muktamadkan Exco

AZIZAN Abdul Razak pada sidang media di Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di Alor Setar, semalam.

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan SAFINA RAMLI

ALOR SETAR, AHAD, 26 Februari, 2012: Kerajaan Pas Kedah masih gagal memuktamadkan senarai kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan mengangkat sumpah bagi tempoh perkhidmatan 2012 walaupun majlis itu telah dijadualkan Selasa ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, hanya lapan calon Exco dijangka hadir mengangkat sumpah pada majlis itu walaupun surat tawaran telah diberikan kepada 10 Exco yang menyandang jawatan ketika ini.

Menurutnya, dua lagi Exco boleh berbuat demikian kemudian kerana tarikh tamat perkhidmatan mereka ialah pada 7 Mac ini bagi memastikan pelantikan tidak melebihi 10 orang seperti yang telah digariskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

“Kalau kita lantik lapan Exco dahulu, ia tidak menyalahi peraturan kerana penyandang jawatan boleh berhenti dan mengangkat sumpah lain.

“Tetapi tidak boleh jika terus melantik 10 orang memandangkan tempoh perkhidmatan Exco sedia ada belum tamat. Kalau saya lantik dua orang baru sebelum tempoh itu, jadi akan ada 12 orang Exco dan ia melanggar peraturan.

“Situasi ini melibatkan teknikal perundangan dan kita perlu melihat dari segi itu juga. Mungkin dalam masa terdekat ini ada beberapa penyelesaian,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di sini hari ini.

Kerajaan Pas Kedah sebelum ini bergolak apabila beberapa Exco kerajaan negeri dikatakan telah menghantar surat agar tidak dilantik semula bagi memegang jawatan tersebut yang dilihat sebagai satu tekanan kepada Menteri Besar agar beliau berundur.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, keadaan itu menyebabkan majlis pelantikan Exco terpaksa diadakan dalam dua sesi iaitu pada Selasa ini bagi lapan Exco dan pelantikan dua lagi Exco akan dibuat kemudian.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah bagaimanapun enggan mendedahkan nama atau mengesahkan sama ada pelantikan tersebut yang akan diadakan di Istana Anak Bukit, membabitkan muka baru atau lama.

Beliau berkata, kesemua senarai Exco yang dicadangkan telah mendapat perkenan daripada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah hari ini dan surat tawaran telah dihantar kepada calon Exco yang dipilih.

Ditanya jika ada kalangan Exco yang dicalonkan menolak tawaran tersebut, Azian berkata, beliau akan melantik individu lain yang berminat dan yang menerima tawaran itu perlu memberi jawapan secepat mungkin.

Mengenai tarikh pelantikan Exco yang diawalkan pada Selasa sedangkan tempoh perkhidmatan tamat 7 Mac, beliau berkata, ia merupakan masa yang sesuai kerana terdapat banyak program pada bulan depan disebabkan masih dalam agenda sambutan Keputeraan Sultan Kedah.

Difahamkan, majlis mengangkat sumpah sebanyak dua kali seperti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri ini sejak sistem rombakan barisan Exco dilakukan setiap tahun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment