GEORGETOWN, AHAS, 26 Februari, 2012: Kerajaan negeri Melaka akan bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai "Negeri Bandar Teknologi Hijau" menjelang 2020.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata dengan adanya
sumbangan tenaga pakar dari USM, usaha ke arah membangunkan Melaka sebagai bandar raya lestari akan dapat dipercepatkan.
"Menerusi sumbangan tenaga pakar dari USM kita yakin dapat merangka pelan
pembangunan teknologi hijau yang mantap," katanya selepas merasmikan Malam Pendekar di USM, di sini malam tadi.
Mohd Ali yang juga Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA), berkata
perjanjian persefahaman antara kedua-duanya akan dimeterai dua minggu lagi.
Beliau berkata, kerajaan negeri Melaka juga telah menyediakan Pelan Induk Teknologi Hijau yang menggariskan lima teras strategik untuk memandu pembangunan teknologi hijau di negeri itu.
Katanya, lima teras strategik itu ialah mengukuhkan institusi berkaitan
teknologi hijau; menyediakan persekitaran pembangunan teknologi hijau yang
kondusif; mengukuhkan pembangunan modal insan; menggalakkan penyelidikan serta inovasi teknologi hijau; dan promosi serta kesedaran awam terhadap kepentingan teknologi hijau.
Mohd Ali berkata, berpandukan teras terbabit, kerajaan Melaka giat
menggerakkan program yang menekankan ciri-ciri penggunaan teknologi hijau dalam setiap pembangunan yang dilaksanakan dalam kawasan pentadbirannya.
"Ia termasuk alam sekitar, demografi, ekonomi bandar, kemudahan masyarakat,
rekreasi, pengangkutan, aksesibiliti, pengurusan dan kewangan," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment