My Add

Sunday 26 February 2012

Tuanku Aishah rasmi sambutan Hari Peringatan Sedunia 2012

SEREMBAN, AHAD, 26 Februari, 2012: Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat merasmikan sambutan Hari Peringatan Sedunia 2012 Peringkat Kebangsaan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, hari ini. 

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu
Puteri Malaysia (PPPM), Datin Seri Zalillah Mohd Taib; Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah yang juga Timbalan Yang Dipertua PPPM dan Yang Dipertua PPPM cawangan Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.
Tuanku Aishah Rohani kemudian melepaskan kira-kira 3,000 ahli PPPM yang 
menyertai perarakan di bandar ini sambil membawa baner, banting dan plakad 
mengenai kempen memelihara alam sekitar. 

Ia adalah kali pertama sambutan itu diadakan di luar Kuala Lumpur. 

Tema sambutan tahun ini ialah 'Kita Boleh Menyelamatkan Bumi Kita'. 
Sementara itu, Zalillah ketika berucap pada majlis itu, berkata tema Hari 
Peringatan Sedunia tahun ini adalah bertepatan dalam keadaan bumi yang mengalami pemanasan global. 

Beliau berkata, tema itu berasaskan matlamat pembangunan milinium ketujuh 
iaitu untuk memastikan kemampanan alam sekitar. 

"Oleh itu, sudah sampai masanya kita bertindak untuk membantu mengatasi 
perubahan cuaca ini. Malah ahli PPPM sendiri boleh turut memainkan peranan 
mereka masing-masing dalam memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar," katanya. 

Beliau berkata, di peringkat Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri 
Sedunia (WAGGGS) pula, pelbagai usaha dan projek dijalankan untuk membabitkan ahli muda Pandu Puteri dalam menyelamatkan bumi ini. 

"Pelbagai program pendidikan bukan formal dirancang tentang kemampanan alam 
sekitar untuk membantu anggota muda mempelajari dan memahami tentang perubahan cuaca seterusnya mengambil tindakan mengenai perubahan cuaca ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment