My Add

Wednesday 22 February 2012

Menteri perlu bersuara - Musa

Oleh MARZITA ABDULLAH

KUALA LUMPUR, SELASA, 21 Februari, 2012: Kelemahan pentadbiran yang berlaku di negeri-negeri bawah kerajaan pembangkang termasuk salah laku dalam kalangan pemimpin parti berkenaan perlu dilihat sebagai peluang untuk Barisan Nasional (BN) memperkukuhkan kedudukan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, situasi berkenaan adalah peluang terbaik bagi pemimpin BN khususnya para anggota Kabinet memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap imej BN yang sebelum ini diperlekehkan oleh parti pembangkang.

''Sekarang adalah masa paling sesuai khususnya para menteri dan timbalan menteri memberi penjelasan kepada rakyat mengenai pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang terutama politik,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tegas beliau, rakyat mahu lebih banyak kenyataan dibuat oleh menteri-menteri kanan dalam kerajaan kerana kumpulan tersebut lebih banyak maklumat.

Katanya, pada masa ini rakyat melihat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan persatuan yang sering memberi maklum balas terhadap sesuatu isu khusus politik.

''Ini bukan bermakna tidak ada menteri atau timbalan menteri memberi maklum balas tetapi tidak ramai yang berbuat demikian,'' katanya.

Musa berkata, jika keadaan tersebut berlarutan beliau bimbang akan wujud sindrom bisu dalam kalangan menteri dan timbalan menteri tertentu sekali gus melemahkan persepsi masyarakat terhadap kerajaan BN.

''Mereka kena berani buat kenyataan politik sebab rakyat mahu mendengar kenyataan tegas mengenai isu-isu politik dan mereka tidak seharusnya takut pada bayang-bayang sendiri,'' tegas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment