My Add

Wednesday 22 February 2012

Tindakan tegas terhadap filem seram persenda Islam

KANGAR, SELASA, 21 Februari, 2012: Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kelima semalam memutuskan supaya kerajaan bertindak tegas bagi memastikan filem atau drama tempatan berunsur seram dan hantu tidak lagi memaparkan jalan cerita yang mempersendakan Islam.

Pengerusinya yang juga Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, ini kerana ada sebahagian daripada filem atau drama seram dan hantu mengaitkan jalan cerita dengan agama itu seolah-olah Islam boleh dipermainkan sesuka hati.

"Apa yang lebih membimbangkan, jalan cerita seperti ini juga boleh menggugat akidah umat Islam khususnya generasi muda," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Juanda berkata, keputusan itu juga dibuat kerana lambakan filem seram dan hantu sejak akhir-akhir ini menyebabkan kanak-kanak menjadi penakut.

"Generasi baru perlu dididik takutkan Allah dan undang-undang, bukannya hantu," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya mana-mana penerbit filem seram supaya menemui mana-mana ulama untuk berbincang jika jalan cerita itu berkaitan dengan agama.

Katanya, jawatankuasa berkenaan juga memutuskan supaya wanita tidak wajar dieksploitasi dalam iklan kerana Islam meletakkan golongan ini pada kedudukan yang tinggi.

"Iklan kini begitu gemar mempamerkan aurat yang menyalahi syariat," katanya.

Beliau berkata, golongan wanita bukan sahaja dilarang terjebak dengan perkara bertentangan syarak, malah kerajaan, pengamal media dan masyarakat perlu bergabung tenaga membendung perkara itu daripada terus merebak.

Juanda juga memberitahu, antara keputusan lain jawatankuasa itu adalah memutuskan lafaz talak dua atau tiga dikira hanya satu talak sahaja digugurkan.

Selain itu katanya, jawatankuasa itu bersetuju memutuskan bahawa jimak juga dianggap sebagai rujuk oleh mana-mana pasangan yang bercerai ketika masih dalam idah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment