My Add

Friday 24 February 2012

Mohon ekstradisi setiap bulan

HISHAMUDDINTun Hussein bersalaman dengan anggota Rela pada perhimpunan bulanan warga KDN di Putrajaya, semalam.

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

PUTRAJAYA, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Malaysia sentiasa menerima permintaan ekstradisi dari negara luar termasuk Amerika Syarikat (AS) supaya penjenayah yang ditahan pihak berkuasa di sini dihantar ke negara yang berkenaan untuk dihadapkan ke mahkamah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, permintaan tersebut diterima hampir setiap bulan, malah dari AS yang tidak membabitkan warga negara itu.

‘‘Warga asing itu berasal dari sebuah negara di selatan negara ini tetapi saya tidak boleh berikan maklumat lebih mendalam kerana ia turut melibatkan kerjasama agensi-agensi perisikan antarabangsa.

‘‘Rangkaian pengganas itu adalah serius. Kebimbangan saya ialah sekiranya sumber kewangan mereka datangnya dari ekonomi gelap hasil aktiviti penyeludupan dadah, senjata api, pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram, ia mampu mengancam negara dan dunia.” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Tegas Hishammuddin, dasar dan prinsip Malaysia adalah jelas iaitu tidak membenarkan pihak ketiga mengambil kesempatan menjadikan negara ini transit atau pangkalan untuk aktiviti haram.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Malaysia bukan negara yang menjadi sasaran tetapi individu-individu terbabit wujud dan perlu dihalang daripada memasuki negara ini.

Sementara itu, katanya, kerajaan sedang memproses permohonan Thailand untuk mengekstradisi warga Iran, Masoud Sedaghat Zadeh ke negara itu selepas ditahan di Malaysia kerana disyaki terbabit dalam beberapa siri pengeboman di Bangkok minggu lalu.

Katanya, proses ekstradisi tersebut perlu diteliti dari aspek undang-undang dan akan dilakukan secepat mungkin selepas semua urusan mengenainya selesai.

‘‘Prinsip kita jelas dan konsisten, kita akan ekstradisi warga Iran ini secepat mungkin. Negara ini tidak akan sewenang-wenangnya dijadikan transit pengganas dan aspek keselamatan negara sentiasa dititikberatkan,” katanya.

Masoud, 31, ditahan pada 3.30 petang 15 Februari lalu di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di bawah Akta Imigresen ketika hendak berlepas ke Iran, selepas tiba dari Thailand pada malam sebelumnya.

Dia ditahan atas permintaan Bangkok kerana hasil maklumat risikan Agensi Perisikan Kebangsaan Thailand mengesyaki Masuod terlibat bersama-sama dua suspek serangan bom yang ditangkap di Bangkok.

Permohonan pihak berkuasa Thailand kini sedang diteliti oleh pihak Peguam Negara kerana Masoud ditahan di bawah Akta Imigresen. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment