My Add

Friday 24 February 2012

Tak jemput bukan isu – PM

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan kerajaan Persekutuan tidak menjemput menteri besar dan ketua menteri negeri yang ditadbir pembangkang dalam mesyuarat penyelarasan kelmarin, bukan satu isu kerana ia merupakan amalan biasa sejak sekian lama.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat tersebut hanya terhad kepada menteri besar dan ketua menteri negeri ditadbir Barisan Nasional (BN) sahaja dan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun beliau berkata, bagi mesyuarat yang membabitkan Majlis Tanah Negara, Kerajaan Tempatan dan Jawatankuasa Kewangan Negara, semua menteri besar dan ketua menteri termasuk dari negeri pembangkang dijemput.

“Ini amalan sejak dahulu lagi. Saya telah lama dalam kerajaan, apa masalahnya. Soal jemputan tidak perlu berbangkit. Mereka (pembangkang) pun banyak mesyuarat tetapi tidak pernah jemput kita. Itupun hendak dipersoalkan,” katanya sinis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mempertikaikan soal jemputan ke mesyuarat penyelarasan tersebut, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengesahkan kehadiran Ketua Wanita UMNO yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada mesyuarat MT malam ini.

Namun Najib berkata, isu berhubung kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dikaitkan dengan Shahrizat tidak dibincangkan.

Sementara itu Najib berkata, mesyuarat malam ini menetapkan 1 April hingga 15 Jun sebagai tarikh diadakan persidangan tahunan cawangan manakala persidangan perwakilan bahagian pula ditetapkan pada 1 Julai hingga 15 September depan.

“Mesyuarat juga memutuskan sambutan ulang tahun UMNO ke-66 pula buat pertama kalinya akan disambut secara meriah di Stadium Merdeka pada 11 Mei akan datang.

“Mesyuarat juga dimaklumkan keahlian UMNO sehingga 31 Disember tahun lalu bertambah seramai 113,116 orang menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 3,335,878 orang,” ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment