My Add

Tuesday 14 February 2012

Mutu aset pertahanan mampu dipertingkat

AHMAD Zahid Hamidi mengiringi Gerard Longuet memeriksa kawalan hormat Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Februari, 2012: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin melalui hubungan sedia ada yang terus terjalin antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan Perancis mampu meningkatkan kualiti aset pertahanan negara.

Beliau berkata, hubungan dua hala itu dapat menguntungkan negara untuk jangka masa panjang terutamanya melibatkan usaha perolehan aset pertahanan terbaru dalam masa terdekat seperti helikopter EC725 dari syarikat Eurocopter negara itu.

"Kita perlu tingkatkan pemindahan pengetahuan dan teknologi menerusi perkongsian ini yang akan membantu kita meningkatkannya (kualiti aset pertahanan negara).

"Ia adalan baik kerana negara kita akan mendapat faedah daripada pasaran luas teknologi pertahanan dari Perancis," katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Menteri Pertahanan Perancis Gerard Longuet di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, selain perolehan aset, Kementerian Pertahanan Perancis juga turut memberi latihan krew kapal selam kepada Malaysia bagi meningkatkan kemahiran krew terlibat.

Katanya, negara bukan hanya akan menjalin kerjasama dengan Perancis dalam aspek pertahanan malah akan turut mendapatkan kerjasama daripada negara lain.

"Kerjasama ini bukan hanya dengan Perancis tetapi rantau lain dan juga untuk menggunakan ASEAN sebagai tempat pasaran bagi membolehkan teknologi pertahanan diperluaskan," katanya.

Sementara itu, Longuet berkata, kebanyakan syarikat Perancis adalah syarikat multinasional dan amat signifikan di seluruh dunia.

"Apabila kita bercakap mengenai Eurocopter Perancis, ia mempunyai signifikan di seluruh dunia. Kami yakin untuk memberikan perolehan aset pertahanan kepada Malaysia bagi memperkukuhkan hubungan untuk jangka panjang," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment