My Add

Sunday 26 February 2012

Nasib golongan berpendapatan sederhana tak dilupakan: PM


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama orang ramai pada Majlis Bersama Warga Petani, Nelayan dan Pekebun Parlimen Sabak Bernam, di Kampung Simpang Empat, Bangan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad 

SABAK BERNAM, AHAD, 26 Februari, 2012 : Datuk Seri Najib Razak berkata kesan positif pertumbuhan ekonomi negara turut dirasai golongan berpendapatan sederhana dan sederhana rendah melalui pelbagai program pembangunan serta bantuan secara langsung kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk kesejahteraan rakyat. 

Perdana Menteri berkata, golongan itu tidak dilupakan berdasarkan gagasan
1Malaysia yang bersifat inklusif. "Biasanya dalam mana-mana sistem ekonomi dunia, yang kaya dia rasa selesa, yang miskin dia dapat bantuan, tapi ramai di tengah-tengah yang (dalam golongan) sederhana, sederhana rendah yang kadang-kadang terlepas pandang atau tidak ada program untuk membantu kelompok ini," katanya. 

Najib berkata demikian pada majlis bersama warga petani, nelayan dan pekebun 
kecil Parlimen Sabak Bernam yang diadakan sempena lawatan sehari beliau ke 
Selangor, di Bagan Nakhoda Omar di sini, hari ini. 

Menyentuh pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Najib berkata, kerajaan BN tidak 'memilih bulu' kerana pihak yang dikatakan bukan penyokong BN turut menerima bantuan RM500. 

Perdana Menteri menegaskan, bahawa rakyat perlu terus memilih BN sebagai 
parti pemerintah demi masa depan negara dan generasi akan datang. 

Beliau menarik perhatian bahawa pihak pakatan pembangkang yang menghadapi 
percanggahan ideologi tidak harus diberi keyakinan untuk mentadbir negara. 

Perdana Menteri menegaskan, BN meletakkan asas kukuh dalam sistem pentadbiran kerajaan serta pengurusan ekonomi negara yang memungkinkan pelbagai bantuan disalurkan kepada rakyat seperti BR1M, bantuan awal persekolahan dan baucar pembelian buku untuk pelajar selain mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia. 

Pada majlis itu, Najib mengumumkan bantuan sagu hati berjumlah RM1.5 juta 
kepada pekebun pisang di Sabak Bernam berikutan hasil tanaman mereka 
diserang penyakit "moko" yang menyebabkan buah pisang bertukar hitam atau 
perang. 

Pemberian sagu hati itu dibuat mengikut keluasan tanah iaitu RM1,500 bagi 
setiap hektar yang disalurkan melalui peruntukan khas Jabatan Perdana Menteri. 

Selain itu, Najib menyampaikan bantuan BR1M kepada 20 penerima dari kawasan 
Parlimen Sabak Bernam dan elaun sara hidup nelayan berjumlah RM322,400 kepada wakil Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar serta peralatan industri kecil dan sederhana kepada lima penerima. 

Terdahulu, Najib merasmikan Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Ahli Dewan 
Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar Datuk Raja Ederis Raja Ahmad, dan menamakannya "Dewan Seri Peladang". 

Beliau turut bersarapan pagi bersama pemimpin akar umbi BN. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment