My Add

Friday 24 February 2012

Nik Aziz tolak dakwaan Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertahankan amalan bai'ah dalam parti itu kerana ia bukannya untuk pemimpin sebaliknya ditujukan kepada Allah, rasul-Nya serta kepatuhan terhadap rukun berjemaah.

Sehubungan itu, beliau menolak segala dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa amalan bai'ah dalam parti itu adalah kepada pemimpin yang hanya berminat untuk menang pilihan raya.

Sambil menyifatkan kenyataan Dr. Mahathir itu sebagai usaha melemparkan tohmahan kepada Pas, beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu tersasar dalam menterjemahkan Pas sebagai sebuah gerakan politik Islam kerana parti itu sentiasa meletakkan akidah perjuangan Islam sebagai keutamaan.

"Semalam Dr. Mahathir ada komen mengenai bai'ah yang diamalkan oleh Pas. Ia semacam tohmahan cara bai'ah Pas sebagai ketaksuban kepada pemimpin, tidak kepada Allah.

"Sebenarnya Pas tidak mengamal sebegitu. Pas mengajar ahli dan pemimpinnya berbai'ah tetap kepada Allah dan rasul serta kepatuhan kepada rukun berjemaah, bukannya pemimpin," kata Menteri Besar Kelantan itu dalam status terkini Facebooknya yang disiarkan hari ini.

Dr. Mahathir dalam satu program di Shah Alam, Selangor semalam berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepatutnya meminta ahli parti itu berbai'ah kepada Allah dan bukannya kepada pemimpin mereka yang hanya berminat untuk menang pilihan raya.

Menurutnya, ini kerana jika manusia biasa membuat bai'ah atau lafaz taat setia sesama manusia atau parti, mereka mempunyai kecenderungan melanggar lafaz yang telah dibuat.

Isu mengenai bai'ah tercetus apabila Abdul Hadi dalam satu kenyataannya kelmarin berkata, setiap calon Pas yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti diwajibkan berbai'ah dan sesiapa yang melanggar bai'ah itu akan 'celaka dunia dan akhirat'.

Mengulas isu sama Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, bai'ah adalah keistimewaan dalam perjuangan Islam.

Beliau berkata, daripada sumpah kesetiaan sesama sendiri yang berdepan hukuman manusia jika dilanggar, bai'ah Islami turut mengingatkan mengenai balasan Allah di dunia dan akhirat jika mereka mengkhianati janji dan perjuangan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment