My Add

Friday 24 February 2012

UMNO Tanah Merah persoal tindakan YIK

KOTA BHARU, KHAMIS, 23 Februari, 2012: UMNO Tanah Merah mempersoalkan tindakan Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang dikatakan telah menurunkan pangkat bekas pengetua Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) di Kampung Sat, Tanah Merah secara tidak sah.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz meminta YIK memberi penjelasan berhubung tindakan yayasan tersebut menurunkan pangkat pengetua terbabit bagi mengelak sebarang kekeliruan dan salah faham.

"Difahamkan, Jabatan Pelajaran Negeri mahu supaya pengetua terbabit dikekalkan tetapi YIK bertindak sebaliknya. Ini sudah tentu mengundang pelbagai persoalan dan YIK perlu memberikan penjelasan. Kita juga tidak mahu tindakan YIK itu menzalimi bekas pengetua terbabit," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, bekas pengetua SMUA berkenaan, Mohd. Saaidi Mohamad, 43, mendakwa YIK bertindak zalim apabila menurunkan jawatannya kepada guru biasa setelah tiga tahun berkhidmat, dengan alasan tidak layak.

Mohd. Saaidi turut mendakwa, tindakan YIK itu melanggar perjanjian dengan Kementerian Pelajaran, selain menerima tekanan politik berikutan beliau dilihat pro-UMNO.

Mengulas lanjut, Ikmal Hisham turut berharap agar YIK dapat mengadakan perbincangan dengan Mohd. Saaidi bagi memberi keadilan kepada guru berkenaan.

"Jika benar beliau tidak layak untuk jawatan itu, kenapa baharu sekarang diturunkan jawatan, kenapa tidak dahulu lagi," katanya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan maklum balas daripada YIK masih gagal apabila panggilan berulang-kali ke pejabat yayasan tersebut tidak dijawab. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment