My Add

Sunday 26 February 2012

Nisbah 70 peratus penuntut perempuan di universiti kekal

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

KOTA BHARU, SABTU, 25 Februari, 2012: Nisbah 70 peratus penuntut perempuan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berbanding 30 peratus lelaki akan kekal tahun ini kerana Unit Pusat Universiti (UPU) bergantung sepenuhnya kepada meritokrasi dalam pengambilan mahasiswa.

Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Raduan Che Rose berkata, ia adalah senario biasa yang berlaku setiap tahun, namun tidak akan menghalang hasrat kerajaan untuk melahirkan 40 peratus rakyat berumur 17 hingga 21 tahun mempunyai akses kepada universiti bagi mencapai status negara maju.

Beliau berkata, nisbah tersebut hanya boleh diubah oleh universiti sekiranya berhasrat melakukannya seperti yang diamalkan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), namun ia tidak boleh dilaksanakan dengan mudah.

"Macam biasa di IPTA 70 peratus pasti perempuan kecuali di UPNM sebab lebih mengambil kadet lelaki iaitu 80 peratus. Tetapi perlu diingat senario ini adalah gambaran bahawa negara sedang menuju ke arah status negara maju.

"Ini proses biasa, kita tidak boleh ubah, tetapi mungkin di peringkat universiti masing-masing mungkin ada cara tersendiri untuk buat, namun di peringkat UPU tidak boleh sebab semuanya adalah berdasarkan merit," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar ketika melawat Karnival Jom Masuk U 2012 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi di sini hari ini.

Raduan berkata, jumlah itu turut menjelaskan usaha kerajaan dalam mendemokrasikan pengajian tinggi yang bermaksud semua pelajar yang layak untuk memasuki universiti tidak akan dihalang hak mereka untuk berbuat demikian.

Mengulas mengenai karnival tersebut katanya, ia memberi peluang kepada semua pelajar untuk membuat pilihan sebelum mereka mengisi borang kemasukan ke universiti.

"Jadi, selepas ini tiada lagi cerita-cerita mengenai tersalah pilih kursus. Pelajar sekarang boleh datang sendiri berjumpa dengan pihak universiti kerana bahagian penerangan disediakan dan semua perkara boleh ditanya.

"Program seperti ini juga umpama pusat sehenti di mana pelajar boleh mengetahui di mana mahu belajar, cara mendapatkan penajaan kerana semuanya telah disediakan," tambah beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment