My Add

Friday 3 February 2012

Padi hibrid mampu selesai krisis beras negara

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 03 Februari, 2012: Tanaman padi hibrid mampu menawarkan penyelesaian paling efektif kepada masalah kekurangan bekalan beras negara.

Penerima Anugerah Sains Mahathir (MSA) 2011, Prof. Yuan Long Ping dari China berkata, industri padi hibrid di Malaysia sangat berpotensi untuk berkembang dan boleh menjadi jawapan kepada masalah kekurangan beras untuk rakyat.

Hibrid bermaksud benih padi yang dihasilkan melalui kaedah bioteknologi percantuman dan kacukan daripada beberapa jenis benih terbaik yang berlainan bagi menghasilkan produk baru lebih berkualiti.

“Saya lihat padi hibrid berpotensi untuk dikembangkan di negara ini. Saya juga difahamkan kawasan penanaman padi berkenaan semakin luas.

“Saya harap industri padi hibrid di Malaysia terus berkembang. Ia bakal menyelesaikan masalah kekurangan bekalan beras di Malaysia dan saya jangkakan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang, padi hibrid akan dikomersialkan,” katanya pada forum bertajuk ‘Adakah Padi Hibrid Dapat Mengelakkan Krisis Makanan?' di sini, semalam.

Long Ping, 81, menerima anugerah khas MSA sebagai menghargai pencapaiannya meningkatkan hasil padi yang merupakan makanan utama penduduk tropika.

Beliau yang juga dikenali sebagai Bapa Padi Hibrid menerima anugerah tersebut daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kelmarin.

Sebagai penerima anugerah khas berkenaan, Long Ping membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pingat emas dan juga sijil.

Dalam pada itu, menurut Long Ping, pembangunan padi hibrid merupakan kaedah paling efektif dan ekonomikal dalam usaha mengatasi masalah kekurangan beras.

“Ada banyak kaedah untuk menyelesaikan masalah kekurangan beras di seluruh dunia terutama di benua Asia, tetapi kaedah paling efektif dan ekonomikal ialah dengan membangunkan industri padi hibrid,” jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment