My Add

Friday 3 February 2012

Injunksi halang YS roboh asrama

Oleh AHMAD FADZLY ESA

SHAH ALAM, JUMAAT, 03 Februari, 2012: Gabungan Alumni Yayasan Selangor akan memfailkan injunksi mahkamah bagi menghalang Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor meneruskan cadangan merobohkan bangunan asrama Yayasan Selangor (YS) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Penyelaras Gerakan Saya Anak Yayasan Selangor (GSAYS), Badrulzaman Baharuddin berkata, tindakan tersebut akan dilakukan dalam tempoh terdekat memandangkan pelbagai usaha untuk mencari penyelesaian termasuk perbincangan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menemui kegagalan.

"Kita tiada pilihan lain selain mendapat injunksi mahkamah bagi menghalang YS yang dipengerusikan oleh Menteri Besar merobohkan asrama tersebut setelah semua pelajar tidak lagi ditempatkan di asrama berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tahun lalu, Kerajaan PKR Selangor dilaporkan membuat keputusan untuk merobohkan asrama YS dipercayai bagi menambah aset kerajaan negeri yang semakin berkurangan dengan mengkomersial aset-aset sedia ada.

Yayasan itu juga dilaporkan telah membuka tender kepada pemaju-pemaju yang berminat membangunkan tanah tapak asrama berkenaan apabila dirobohkan nanti.

Bagaimanapun, rancangan tersebut ditentang oleh banyak pihak seperti GSAYS, Persatuan Alumni Asrama Yayasan Selangor (PAYS), bekas-bekas Pengurus Besar Yayasan Selangor dan ibu bapa pelajar.

Asrama itu ditubuhkan pada 1979 bertujuan memberi peluang kepada pelajar dari kawasan kampung di Selangor melanjutkan pelajaran di sekolah terpilih di Kuala Lumpur.

Sementara itu, bekas Pengurus Pendidikan YS, Datuk Mat Yasir Ikhsan berkata, para pemimpin Kerajaan PKR Selangor termasuk Menteri Besar dianggap gagal menghayati dan menjiwai perjuangan penubuhan YS apabila tetap dengan keputusan untuk merobohkan bangunan asrama berkenaan.

Beliau berkata, YS merupakan satu entiti yang diwujudkan kerajaan negeri ketika diterajui oleh Datuk Harun Idris bertujuan untuk meningkatkan pencapaian pendidikan dalam kalangan pelajar Melayu luar bandar yang sering kali ketinggalan berbanding pelajar Melayu di bandar.

''Pimpinan terdahulu ingin melihat pelajar-pelajar Melayu luar bandar dan dalam bandar bersatu agar mereka dapat meningkatkan mutu pencapaian pelajaran.

''Namun apabila wawasan itu tidak dihayati oleh pimpinan yang ada sekarang, maka sebenarnya rakyat dan pelajar Melayu menjadi mangsa," katanya.

Justeru, Mat Yasir memberitahu, Gabungan Alumni YS akan mengadakan siri jelajah interaksi profesional bersama pelajar Melayu luar bandar untuk menerangkan isu tersebut.

Katanya, siri jelajah itu akan bermula akhir bulan ini di Sabak Bernam dan seterusnya di daerah lain. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment