KUALA LUMPUR, RABU 22 Februari, 2012: Pandangan Datuk Musa Sheikh Fadzir supaya anggota Kabinet menggunakan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri yang ditadbir pakatan pembangkang dalam memperkukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan kumpulan itu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, anggota Kabinet sama ada menteri atau timbalan menteri tidak seharusnya bersikap apologetik untuk menyampaikan pandangan, teguran atau kritikan dalam sesuatu isu sama ada untuk mempertahankan sebarang dasar kerajaan ataupun tohmahan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, dalam melawan gelombang fitnah pembangkang ketika ini, setiap menteri seharusnya lebih berani ke depan untuk mematahkan hujah kerana rakyat lebih mudah menerima hujah mereka.
''Anggota Kabinet seharusnya tidak hanya sibuk dengan Indeks Prestasi Utama (KPI) kementerian masing-masing sebaliknya pada masa sama, mereka perlu berani tampil menyatakan pendirian kerana menteri dan timbalannya mempunyai lebih banyak maklumat dan fakta," katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Musa yang mahu kelemahan pentadbiran di negeri-negeri bawah kerajaan pembangkang dilihat sebagai peluang untuk BN memperkukuhkan kedudukan.
Situasi berkenaan adalah peluang terbaik bagi pemimpin BN khususnya para anggota Kabinet memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap imej BN yang sebelum ini diperlekehkan oleh parti pembangkang.
Puad dalam pada itu menjelaskan, anggota Kabinet seharusnya menggunakan majlis yang mereka hadiri untuk memberi penjelasan mengenai dasar kerajaan dan kelemahan yang wujud daripada pentadbiran kerajaan negeri pembangkang.
''Peluang berucap itu harus digunakan sepenuhnya tanpa terlalu apologetik kerana rakyat perlu maklumat yang lebih tepat.
''Jika tidak dilakukan, ia dikhuatiri akan digunakan pembangkang untuk terus menabur fitnah terhadap kerajaan termasuk Perdana Menteri," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, pandangan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang itu amat baik kerana ada kalangan anggota Kabinet yang tidak kisah untuk menyuarakan kelemahan pakatan pembangkang.
Katanya, peluang untuk berucap pada majlis yang dihadiri menteri dan timbalannya seharusnya digunakan bukan sahaja menyentuh soal dasar malah menekankan soal kelemahan pakatan pembangkang kerana mungkin masih ada rakyat yang tidak mengetahuinya.
''Adalah wajar untuk kita (anggota Kabinet) memberi keutamaan kepada kelemahan yang dimiliki kerajaan negeri pakatan pembangkang dan menjelaskan mekanisme yang seharusnya digunakan bagi menarik keyakinan rakyat dalam menghadapi pilihan raya akan datang," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment