My Add

Thursday 23 February 2012

Pas perlu tinggalkan Anwar

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR, RABU, 22 Februari, 2012: Pas perlu segera meninggalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Ketua Pembangkang itu ternyata konsisten menyokong keselamatan negara Israel, sesuatu yang diharamkan Islam sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran.

Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohd. berkata, sokongan kepada Israel bukan isu perbezaan pendapat tetapi ia isu akidah dan Pas tidak boleh lagi seiring dengan Anwar, apatah lagi mengiktirafnya sebagai Ketua Pembangkang.

Sambil melahirkan kekecewaan terhadap kenyataan rasmi Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disifatkannya sebagai 'kenyataan selamat' beliau berkata, dalam isu Israel, Pas tidak boleh mendahulukan kepentingan politik berbanding tuntutan akidah.

"Allah telah menjelaskan dengan terperinci dalam surah al-Baqarah dan al-Ma'idah mengenai Israel, ini bukan isu perbezaan pendapat mahupun soal kemanusiaan, ini soal akidah bagi umat Islam dan menyokong sesuatu yang haram adalah perbuatan haram.

"Anwar bukan sahaja menyokong, malah beliau konsisten mempertahan sokongan tersebut di mana Pas berada dalam jemaah itu. Ini soal akidah, dalam bab ini Islam menuntut kita bermufarakah (meninggalkan) pemimpin yang menentang tuntutan akidah.

"Tindakan Pas sekadar menyatakan pendirian tidak cukup kerana mereka masih lagi bersama. Malah saya kecewa dengan 'kenyataan selamat' Pas yang dilihat lebih mementingkan undi berbanding akidah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa Pas tidak akan sesekali mengiktiraf Israel kerana ia perbuatan haram selepas Mursyidul Am itu mengadakan pertemuan dengan Anwar bagi mendengar penjelasan mengenai sokongannya terhadap negara Yahudi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment