My Add

Thursday 23 February 2012

Pas, Anwar sama saja isu lindungi Israel

Razali Ibrahim
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Keengganan Pas memutuskan kerjasama politik dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti dilaporkan akhbar Wall Street Journal (WSJ) menunjukkan parti itu bersubahat dengan ketua pembangkang yang mengiktiraf kewujudan negara haram Israel.

Ini kerana pendirian Anwar jelas bertentangan dengan ketetapan Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan haram bagi mana-mana pihak bersekongkol dengan Israel dalam sebarang bentuk hubungan.

Sehubungan itu, Pas khususnya Majlis Syura Ulama digesa menjelaskan sama ada kerjasama dengan Anwar yang menyokong keselamatan Israel adalah tindakan bersubahat atau sebaliknya.

.Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, Anwar sepatutnya memberi penjelasan kepada ahli jawatankuasa Majlis Syura Ulama dan bukan hanya kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara tertutup.

Katanya, ini kerana perkara itu membabitkan kepentingan umat Islam, selain Majlis Syura Ulama telah memberi kata dua kepada Anwar untuk menarik balik kenyataannya secara terbuka atau menyaman WSJ jika laporan itu tidak tepat.

“Bukan saja (penjelasan) kepada Nik Aziz, Anwar kena beri penjelasan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama. Apa pendirian Pas dalam konteks subahat? Adakah ini bermakna mereka bersubahat sokong Israel (kerana sokong Anwar). Majlis Syura Ulama perlu perjelaskan hal ini,” katanya semalam.

Razali turut membidas sikap Nik Aziz yang disifatkannya seolah-olah menyembunyikan perkara sebenar yang dibincangkan dengan Anwar. 
Katanya, sebagai pemimpin Islam, Nik Aziz tidak seharusnya mempunyai sifat ‘menyembunyikan’ iaitu sifat berlawanan bagi ‘tabli’ atau menyampaikan.

Dalam kenyataan media sehari selepas pertemuan dengan Anwar, Menteri Besar Kelantan itu menegaskan adalah haram bagi mana-mana pihak bersekongkol dengan Israel dalam apa juga bentuk hubungan. 

Beliau juga mengulangi pendirian Pas seperti diputuskan Majlis Syura Ulama bahawa parti itu tidak akan mengiktiraf negara haram Israel.

“Memahami penjelasan Datuk Seri Anwar, saya mengulangi pendirian PAS seperti diputuskan oleh Majlis Syura Ulama, iaitu Pas tidak sekali-kali mengiktiraf negara haram Israel. 

“Maka Pas tetap istiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri. Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian Pas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin menyifatkan pemimpin Pas semakin lemah kerana tidak mampu mendesak Anwar menarik balik kenyataan yang bertentangan dengan pendirian parti itu.

Ketua Puteri UMNO itu, berkata tiada guna jika Pas terus bertegas dengan pendirian tidak mengiktiraf walau seinci hak Yahudi terhadap bumi Palestin tetapi pada masa sama merelakan sekutunya secara terang-terangan menyokong keselamatan Israel.

Katanya, keengganan Anwar menyaman WSJ sepatutnya disusuli dengan tindakan menarik balik sokongannya terhadap isu keselamatan Israel jika Ketua Pembangkang benar-benar menghormati pendirian Pas.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat pula mempertikaikan keupayaan Pas menjadi pelindung kepada kebajikan masyarakat Islam jika parti itu terus bersubahat dengan PKR dalam melindungi keselamatan Israel.

“Pas dan PKR duduk bersama dalam pakatan pembangkang kerana kepentingan mereka adalah Pilihan Raya Umum Ke-13 yang diidamkan selama ini. 

“Oleh itu, walau apapun isu yang menimpa Anwar, Pas akan tetap memberikan sokongan kerana mereka bersetuju untuk ‘tetap bersama’ dalam isu yang tidak dipersetujui secara bersama,” katanya.

Sementara itu Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar, berkata Pas seharusnya menjauhkan diri daripada PKR, bukannya bersubahat dengan mengekalkan kerjasama dalam pakatan pembangkang.

Katanya, adalah sesuatu yang pelik ketika Pas menegaskan pendirian dalam isu Israel, parti itu terus mengadakan kerjasama dengan pihak yang menyokong kewujudan negara haram itu. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment