My Add

Thursday 2 February 2012

Pas Selangor rasa tidak tergugat pendedahan Hasan Ali

SHAH ALAM, KHAMIS, 02 Februari, 2012: Pas Selangor mendakwa tidak tergugat dengan pendedahan yang dilakukan oleh Datuk Dr.Hasan Ali berhubung kerjasama parti itu mentadbir negeri berkenaan bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Sebaliknya, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman mendakwa, kedudukan Hasan kini makin goyah kerana ada rakan yang menjadi tulang belakang dan mampu menarik orang ramai untuk hadir ke sesi jelajah beliau telah menarik diri.

''Saya tidak pasti mengapa mereka tarik diri. Tapi jika mereka yang ikut beliau boleh tarik diri apa maknanya itu?," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau mengulas siri jelajah Hasan yang turut mendedahkan kepincangan dalam pentadbiran negeri Selangor.

Mengenai dakwaan Hasan yang menamatkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad sebagai salah seorang parasit dalam Pas, Abdul Rani mendakwa, tindakan itu secara tidak langsung mungkin telah membantu menaikkan lagi populariti Khalid di kalangan pengundi.

''Beliau (Hasan) boleh cakap dan buat apa sahaja sekarang ini kerana bukan lagi ahli Pas.

''Tetapi itu semua langsung tidak menjejaskan atau menggugat perjalanan politik parti. Malah kami yakin orang ramai terutamanya pengundi tidak akan percaya membuta tuli kerana pengundi sekarang bijak," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment