My Add

Monday 27 February 2012

Pejuang negara meninggal dunia pada usia 86 tahun

KUALA PILAH, AHAD, 26 Februari, 2012: "Beri tahu semua kenalan abah bahawa pejuang negara ini masuk hospital."

Masih jelas dalam ingatan Aminah Wahab, 57, kata-kata arwah ayahnya itu, Wahab Hamid, 86, ketika dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini Ahad lalu.

Selepas seminggu mendapat rawatan di hospital, Wahab meninggal dunia pada kira-kira pukul 8.45 pagi semalam akibat masalah saluran pernafasan.

Beliau adalah penerima Military Medal (MM) daripada kerajaan British atas jasa-jasa mempertahankan negara, terutamanya ancaman komunis pada tahun 50-an.

"Baru-baru ini, abah ada meminta semua anak-anak pulang ke rumahnya di Kampung Terusan (di sini) pada 19 Februari lalu. Arwah memberitahu dia ingin menemui semua anaknya dan mengadakan kenduri doa selamat.

"Namun, pada hari perjumpaan bersama anak-anak, abah telah dimasukkan ke hospital setelah mengalami sesak nafas," katanya.

Ujarnya, selepas tujuh hari dirawat di hospital tersebut, arwah ayahnya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Pada bulan lepas, arwah juga ada berpesan kepada saya supaya segera menghantar borang untuk mengesahkan bahawa arwah adalah penerima MM.

"Paling menyedihkan apabila kad pengesahan daripada kerajaan sampai di rumah pada Rabu lalu dan arwah tidak dapat melihat kad tersebut kerana berada di ICU," katanya.

Jenazah pahlawan negara itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terusan Tengah, Juasseh dekat sini petang semalam.

Arwah meninggalkan tujuh orang anak serta isteri, Selamah Choboi, 75.

Akhbar ini pada keluaran 28 September tahun lalu menyiarkan pesanan arwah kepada golongan muda untuk terus mempertahankan kedaulatan negara.

Keberanian Wahab mempertahankan kedaulatan tanah air ini terserlah selepas beliau terlibat dalam pertempuran dengan pengganas komunis pada 25 Mac 1950 di Sungai Nenggiri, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment