My Add

Saturday 18 February 2012

Pekerja sokong kempen daftar pengundi di kilang

MELAKA, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Menyedari tidak ramai pekerja kilang yang mempunyai masa untuk menguruskan pendaftaran mengundi kerana waktu kerja yang tidak menentu, Kilang Infineon di Batu berendam di sini mengambil inisiatif bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan kempen pendaftaran pengundi.

Kempen yang diadakan sejak 13 Februari lalu itu berakhir hari ini dan berjaya memperoleh lebih 230 pengundi baru.

Seorang pekerja kilang itu, Paramesvari Vaithailingam, 40, berkata, kempen tersebut merupakan inisiatif berkesan memandangkan tidak ramai pekerja yang mempunyai waktu untuk ke pejabat SPR bagi urusan pendaftaran.

"Ini sesuatu yang saya rasa sangat bagus. Kebanyakan mereka berasa susah hendak pergi sendiri ke pejabat SPR untuk mendaftar tetapi dengan adanya kempen sebegini proses itu menjadi sesuatu yang cukup mudah.

"Saya yang telah bekerja di kilang ini selama 20 tahun berasa cukup teruja memandangkan ini pertama kali pendaftaran sebegini diadakan di sini," katanya.

Dalam pada itu, Tracy Poh, 30, berkata, pendekatan yang diambil oleh pihak kilang dan SPR dengan mengadakan kempen di kilang-kilang merupakan satu jalinan kerjasama yang cukup baik.

Katanya, peluang yang ada harus digunakan oleh pihak yang belum mendaftar sebagai satu tanggungjawab dalam menentukan masa depan dan hala tuju negara.

"Dengan mendaftar sebagai pengundi, saya rasa mereka sudah memperoleh hak untuk membuat keputusan," katanya.

Alvin Wong, 23, pula berpendapat, jalinan kerjasama sebegini dilakukan oleh pihak kilang demi menunaikan tanggungjawab sosial kepada pekerja.

Justeru itu katanya, peluang yang ada wajar diambil oleh pekerja untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara pula.

"Saya sebagai orang muda berasa ini sesuatu yang harus diberi perhatian oleh generasi muda. Jangan hanya tahu melepaskan kemarahan di laman sosial semata-mata.

"Sebaliknya, ambil peluang yang ada ini untuk menentukan siapa yang benar-benar berkelayakan menentukan hala tuju negara," katanya.

Bagi Yahaya Baba, 46, sebagai individu yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sebelum ini, dia menyokong usaha pihak pengurusan serta SPR dalam membantu golongan pengundi baru.

"Ini secara tidak langsung dapat menggalakkan lagi rakyat di negara ini untuk mengundi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment