My Add

Saturday 25 February 2012

Israel: Pemuda BN, NGO serah memorandum kutuk Anwar

PETALING JAYA, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Pemuda Barisan Nasional (BN) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum mengutuk kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong keselamatan Israel dalam The Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.

Selain itu, Pemuda BN dan NGO tersebut turut mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya hari ini.

Setiausaha Pemuda BN, Datuk Megat Firdouz Megat Junid berkata, sokongan Anwar kepada Israel itu mengecewakan Pemuda UMNO selain turut dikecam masyarakat pelbagai bangsa di negara ini.

''Menyokong Israel sama seperti menyokong keganasan dan penindasan negara Yahudi itu terhadap rakyat Palestin selama ini.

''Justeru, kami mengutuk sekeras-kerasnya sokongan Anwar kepada Israel," katanya ketika mengetuai kira-kira 200 ahli Pemuda BN dan beberapa NGO menyerahkan memorandum kepada wakil parti itu hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal; Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar; Ketua Pemuda UMNO Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Ketua Pemuda UMNO Seputeh, Mohd. Razlan Muhammad Rafii.

Bagaimanapun, berlaku sedikit kekecohan apabila kumpulan Pemuda BN dan NGO tersebut bertembung dengan penyokong PKR yang telah menunggu lebih awal di bangunan itu.

Memorandum tersebut kemudiannya diserahkan kepada pengawal keselamatan bertugas disebabkan tidak ada wakil PKR tampil untuk menerima surat itu.

Beliau memberitahu, tindakan penyokong PKR yang enggan menerima memorandum itu amat mengecewakan dan ia berbeza dengan pejabat UMNO yang sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja.

''Kami berkumpul secara aman di sini untuk menghantar memorandum tetapi malangnya, tiada seorang pun kakitangan pejabat parti itu tampil untuk menerima surat tersebut," katanya.

Sementara itu, Rizalman mempersoalkan tindakan Anwar yang hanya mengadakan perjumpaan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat bukan kepada Majlis Syura Ulama Pas.

"Anwar sepatutnya memberi penjelasan kepada Majlis Syura kerana kata dua agar Ketua Pembangkang itu menarik balik kenyataan dan menyaman WSJ datang daripada majlis tersebut," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment