My Add

Thursday 16 February 2012

Pihak berkuasa Thailand belum mohon ekstradisi warga Iran

KUANTAN, KHAMIS, 16 Februari, 2012: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pihak berkuasa Thailand belum memohon ekstradisi terhadap warga Iran, Masoud Sedaghat Zadeh yang ditahan di Malaysia semalam, yang dipercayai terbabit dengan beberapa siri pengeboman di Bangkok. 

Beliau berkata, kerajaan Malaysia sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha menangani ancaman pengganas serta kegiatan subversif yang terbukti mengancam keselamatan dan ketenteraman sesebuah negara.

"Setakat ini belum ada permohonan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis perjumpaan tertutup Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama badan perhubungan UMNO Pahang di sini, hari ini. 

Masoud, 31, ditahan pada jam 3.30 petang semalam di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di bawah Akta Imigresen ketika hendak berlepas ke Iran, selepas tiba dari Thailand pada malam sebelumnya. 

Dia ditahan kerana disyaki terbabit dalam cubaan melancarkan serangan bom di Bangkok pada 14 Februari lalu. 

Berdasarkan maklumat risikan dari Agensi Perisikan Kebangsaan Thailand mengesyaki Masuod terbabit bersama-sama dua suspek serangan bom yang ditangkap di Bangkok. 

Hishammuddin berkata, pihak berkuasa Thailand juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia berhubung tahanan suspek itu. 

"Rangkaian ini (pengganas) masih tidak melihat Malaysia sebagai sasaran, tapi tempat untuk berlindung, tempat untuk merancang, untuk dapat kewangan dan tempat untuk transit mungkin tetapi itu pun kita nak nyatakan kepada mereka, kita tidak akan benarkan. 

"Jangan fikir mereka selamat bila berada di Malaysia, kita tak benarkan walaupun individu berkenaan hanya transit. Kita tak mahu timbul masalah yang lebih besar bukan saja kepada negara kita malah kepada dunia," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment