My Add

Sunday 12 February 2012

PKR Johor alu-alukan Salahuddin Ayub

JOHOR BAHRU. SABTU, 11 Februari, 2012: Spekulasi mengenai Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub bakal bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin jelas apabila 'kehadirannya' dialu-alukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sambil menyifatkan Salahuddin sebagai seorang pemimpin yang diterima rakyat di negeri ini, Pengerusi PKR negeri, Datuk Chua Jui Meng berkata, Ahli Parlimen Kubang Kerian mampu membantu pakatan pembangkang untuk menang pilihan raya akan datang.

"Beliau berasal dari Tanjung Piai dan seharusnya balik ke Johor. Beliau akan membantu Pas pada pilihan raya akan datang dan PKR negeri mengalu-alukan kepulangannya ke sini.

"Beliau merupakan pemimpin yang progresif dan diterima semua kaum. Beliau merupakan muka baru Pas di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran PKR Johor, di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Salahuddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Ong Kaw Meng.

Ditanya sama ada Salahuddin akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor sekiranya pakatan pembangkang berjaya menawan negeri ini, Jui Meng memberitahu, perkara itu masih belum dibincangkan dan keputusan mengenainya akan ditentukan oleh ketiga-tiga pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.

"Kita belum bincang siapa menjadi Menteri Besar. Biar kita menang dulu baru boleh bercakap dan saya tidak mempunyai kuasa untuk bercakap mengenai perkara itu," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Salahuddin menegaskan, persoalan siapa yang bakal menjadi Menteri Besar baru sekiranya pakatan pembangkang berjaya menakluki Johor bukan perkara utama.

Menurutnya, matlamat utama pakatan pembangkang kini adalah untuk meruntuhkan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

"Saya lihat politik perkauman tidak ada tempat dalam negara mahupun di Johor ini dan BN tidak boleh berbangga Johor akan menjadi kubu kuat mereka kerana kita akan meruntuhkannya," katanya.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Ketua Pembangkang enggan menemui wakil media yang ingin mendapatkan komennya mengenai perkara tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment