My Add

Thursday 23 February 2012

Rayuan peserta APCET II ditangguh hingga 26 April

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA, KHAMIS, 23 Februari, 212: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan sehingga 26 April depan rayuan 29 peserta persidangan Asia Pasifik Timor Timur II (APCET) pada 1996 serta rayuan balas Kerajaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang memerintahkan setiap peserta terbabit dibayar ganti rugi am RM30,000.

Ganti rugi itu ekoran kesusahan yang mereka alami akibat ditahan polis selama 24 jam ketika persidangan itu berlangsung, 16 tahun lalu. Peserta-peserta APCET itu terdiri daripada pemimpin parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis sosial.

Rayuan tersebut ditangguhkan selepas salah seorang hakim yang menganggotai panel bersidang, Datuk Azahar Mohamed memutuskan menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut.

Hakim Azahar memberitahu, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Unit Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara dan mungkin pernah meneliti fail dan dokumen ketika kes saman itu didengar di Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Wira Low Hop Bing yang mengetuai panel hakim bersidang menangguhkan rayuan sehingga 26 April depan. Turut bersidang, Hakim Datuk K. N. Segara.

Kesemua 29 peserta tersebut merayu terhadap jumlah ganti rugi kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan membayar RM30,000 setiap seorang. Kerajaan pula membuat rayuan balas terhadap liabiliti.

Pada 22 Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan PDRM dan kerajaan membayar ganti rugi am ekoran kesusahan yang peserta-peserta tersebut alami ketika ditahan selama 24 jam di antara 9 dan 10 November 1996.

Perayu-perayu diwakili oleh peguam-peguam Ranjit Singh dan Rashid Ismail manakala Peguam Kanan Persekutuan, Iznan Ishak mewakili kerajaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment