My Add

Monday 27 February 2012

RISDA tanam semula 50,000 hektar getah, sawit tahun ini

KUALA LUMPUR, AHAD, 26 Februari, 2012: RISDA menyasarkan penanaman semula melibatkan kawasan 50,000 hektar iaitu 40,000 hektar untuk getah dan selebihnya dengan kelapa sawit di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata, RISDA menerima peruntukan RM397 juta tahun ini dan ia akan digunakan sepenuhnya untuk tingkatkan produktiviti termasuk tanam semula dan RM100 juta daripada jumlah itu untuk pembajaan, elemen terpenting bagi memastikan tanaman yang sihat.

"Insya-Allah dengan perancangan yang dibuat, saya yakin RISDA akan berjaya melaksanakan penanaman semula ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Amal Kasih Sayang RISDA 2012 anjuran Permodalan RISDA Bhd. dan Kelab Sukan RISDA Wilayah di Ampang, di sini malam kelmarin.

Majlis itu yang diserikan dengan persembahan antaranya Jamal Abdillah dan Datuk Aziz Satar turut dihadiri oleh Ahli Dewan Negara, Datuk Muhammad Olian Abdullah dan Pengerusi Permodalan RISDA Berhad, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Ia bertujuan mengumpul dana bagi Tabung Penyayang RISDA dan berjaya mengutip RM280,000 hasil penjualan meja termasuk RM30,000 sumbangan Permodalan RISDA Berhad, yang bertujuan menjaga kebajikan warga RISDA seperti pendidikan dan program dalaman berbentuk ilmiah.

Wan Mohamad Zuki seterusnya berkata, RISDA juga menyasarkan pengeluaran sebanyak 1,600 kilogram getah sehektar dan 18 tan metrik kepala sawit sehektar memandangkan prestasi pekebun setakat memberangsangkan iaitu mencapai pengeluaran 1,530 kilogram getah sehektar dan 17 tan metrik kelapa sawit sehektar.

"Jadi saya yakin sasaran itu berjaya dicapai sekiranya pekebun mengamalkan amalan penanaman baik merangkumi penanaman dan penjagaan pokok, pembajaan, rangsangan pada pokok dan penorehan serta penuaian," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment