My Add

Monday 27 February 2012

Elaun tentera, Wataniah diteliti

Oleh Haniza Hassan

MERSING, AHAD, 26 Februari, 2012: Kementerian Pertahanan akan meneliti semula bayaran elaun anggota tentera untuk semua peringkat termasuk Askar Wataniah (AW) supaya ia selaras dengan tahap kepakaran yang dimiliki oleh mereka.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, kajian terhadap kesemua elaun tersebut akan dibuat oleh Bahagian Perkhidmatan Anggota sebelum dibentangkan di Majlis Angkatan Tentera untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, keputusan penyelarasan tersebut juga berdasarkan kepada kewangan negara dan perlu melalui beberapa proses sebelum dilaksanakan.

"Jumlah elaun yang diterima anggota tentera agak kecil, ia perlu diselaraskan dengan tahap kepakaran yang dimiliki oleh mereka.

"Sebagai contoh, elaun yang diterima oleh Askar Wataniah iaitu sebanyak RM5.80 sejam bagi pegawai AW dan RM4 sejam oleh anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) agak kecil. Sehubungan itu, kita akan kaji pemberian elaun tersebut," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kompeni Askar Wataniah Felda Peringkat Negeri di Felda Nitar 1 di sini hari ini.

Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail turut hadir bagi menyaksikan perbarisan yang melibatkan penyertaan seramai 125 anggota dari gugusan Felda seluruh negeri ini.

Abdul Latif berkata, penelitian tersebut juga dibuat dengan melihat kepada tuntutan keperluan masa kini.

"Tahun lepas kita kaji gaji, tahun ini elaun pula. Masa untuk mendapatkan keputusan tersebut tidak dapat dipastikan cepat atau lambat tetapi kita akan teliti perkara itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment