My Add

Sunday 26 February 2012

Saya tak tergugat – MB

Azizan Abdul Razak
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH


*   Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, tekanan politik dihadapinya ketika ini yang dikatakan didalangi oleh golongan ‘Anwarinas’ dalam Pas tidak menggugat kedudukan dan peranan beliau sebagai Menteri Besar Kedah.

*   Beliau berkata, semakin hebat tekanan dihadapi, semakin kuat sokongan daripada rakyat yang bersimpati dengan situasi terpaksa ditempuhinya.
*   Ini kerana, kata Pesuruhjaya Pas negeri itu, rakyat Kedah gembira dengan corak pentadbiran beliau yang aman dan lancar.
ALOR SETAR, SABTU, 25 Februari, 2012: Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) berkata, tekanan politik dihadapinya ketika ini yang dikatakan didalangi oleh golongan ‘Anwarinas’ dalam Pas tidak menggugat kedudukan dan peranan beliau sebagai Menteri Besar Kedah.

Bahkan, beliau dengan nada meyakinkan berkata, semakin hebat tekanan dihadapi semakin kuat sokongan daripada rakyat yang bersimpati dengan situasi yang beliau terpaksa tempuhi.

Ini kerana, kata Pesuruhjaya Pas negeri itu, rakyat Kedah gembira dengan corak pentadbirannya yang aman dan lancar.

“Lagi orang kacau, lagi rakyat bersimpati terhadap saya. Mereka gembira apa, Kedah aman, damai dan sejahtera. Tiada kacau bilau, betul tak?,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Kedua Persatuan Alumni Maktab Mahmud Kedah di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, tekanan politik yang terpaksa dihadapi Azizan sehingga menyaksikan ‘pemberontakan’ empat Exco kanan Pas didakwa berpunca daripada tangan ghaib Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwaan itu dibuat bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin kerana katanya, Anwar tidak menyukai mana-mana pemimpin ulama dalam Pas yang tegas mempertahankan kedudukan Melayu dan Islam kerana mahu prinsip itu diliberalkan.

Azizan sebelum ini dikecam hebat oleh pemimpin pakatan sendiri apabila beliau mempertahankan tindakan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) Kedah, menggantung pelajar selain keberaniannya menyanggah isi kandungan Buku Jingga pakatan pembangkang, apabila berkata ia bukan al-Quran.

Spekulasi terbaru mengatakan beberapa Exco Kedah enggan hadir pada majlis pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Selasa ini bagi memberi tekanan kepadanya supaya berundur.

Azizan berkata, dari hari pertama beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar empat tahun lalu, pelbagai cerita timbul mengenai kepimpinannya.

Ditanya mengapakah tekanan yang dihadapi beliau pada masa ini dilihat paling serius, beliau berkata:“Orang nak buat kerja ini ada strategi dia, bukan dia buat saja-saja. Saya pun ada strategi juga.”

Mengenai dakwaan bahawa tekanan yang dihadapi beliau pada masa ini angkara kumpulan Anwarinas dalam Pas, Azizan menjelaskan, dakwaan itu ditulis oleh wartawan, tetapi menegaskan beliau tiada masalah untuk berkawan dengan sesiapa pun tidak kira daripada golongan mana.

Bagaimanapun, katanya, sesiapa pun tidak boleh mempengaruhi fikirannya untuk bersetuju atau tidak dengan mereka berhubung sesuatu perkara.

“Saya tak tahu golongan Endorgan, sembang saya sama sahaja. Saya boleh pi (pergi) tang (ikut) mana pun, tiada masalah apa. Semua kawan saya. Kalau saya setuju dengan dia orang saya kata yes, tak setuju kata no,” tegasnya.

Berhubung senarai nama Exco baru Kedah, Azizan berkata, ia tidak boleh diumumkan kerana belum mendapat surat pengesahan daripada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah, tetapi menjangkakan diperoleh esok.

Menurutnya, beliau telah menyerahkan cadangan senarai nama Exco kerajaan negeri bagi 2012 kepada Sultan Kedah di Istana Negara beberapa hari lalu ketika menghadiri Mesyuarat Ke-228 Majlis Raja-Raja.

Semalam Azizan berkata, pemilihan Exco adalah hak beliau tanpa perlu merujuk kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment