My Add

Monday 27 February 2012

Tambahan RM50j dipohon untuk Program UKDinamik

BUTTERWORTH, AHAD, 26 Februari, 2012: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memohon penambahan RM50 juta untuk program Usahawan Kecil Dinamik (UKDinamik), kata Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Beliau berkata, penambahan itu diperlukan selepas mendapati peruntukan RM50 juta yang sedia ada tidak mencukupi dalam memastikan program itu dinikmati secara menyeluruh kepada usahawan kecil.

Shafie berkata, demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Hari Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat negeri Pulau Pinang 2012, di sini hari ini.

Program UKDinamik, yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara), dilancarkan pada September tahun lepas untuk membantu usahawan kecil dan memperkasakan sektor usahawan desa.

Selain itu, Shafie juga mengumumkan peruntukan berjumlah RM12.3 juta untuk Pulau Pinang bagi pembiayaan perniagaan untuk usahawan kecil menerusi MARA, RM3 juta untuk pembangunan penjaja dan peniaga kecil dan RM1.7 juta lagi untuk latihan keusahawanan.

"Melalui usaha seumpama ini, kita yakin ia akan dapat mendorong dan menggalakkan peniaga kecil yang tidak mempunyai ruang perniagaan atau lokasi yang sesuai,” katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment