My Add

Monday 27 February 2012

Pembangunan Kg. Baru: Kerajaan tiada agenda tersembunyi

PUTRAJAYA, AHAD, 26 Februari, 2012: Kerajaan tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi mahupun ingin mengenepikan hak serta kepentingan para pemilik dan pewaris tanah berhubung pembangunan semula Kampung Baru, tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangunan kawasan itu adalah berdasarkan kepada keprihatinan kerajaan untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup orang Melayu di bandar Kuala Lumpur.

"Pembangunan semula Kampung Baru menjadi agenda utama dalam mentransformasi kedudukan dan identiti kampung tersebut yang berkait rapat dengan martabat, sejarah dan jati diri orang Melayu.

"Lantaran itu siri perbincangan dan pertemuan yang intensif telah dan akan terus dijalankan oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dengan para pemilik dan pewaris tanah,” katanya semasa berucap menyempurnakan penutupan sambutan Hari Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menyeru semua pihak bekerjasama erat dan memberikan komitmen ikhlas bagi menjayakan pembangunan kawasan itu.

Muhyiddin berkata, selaras dengan Akta Pembangunan Kampung Baru 2011, pasukan penubuhan Interim juga telah ditubuhkan, berkuatkuasa 1 Jan lepas, bagi mengambil langkah-langkah awal penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment